Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Kelab Bola Sepak MAIWP (MAIWP FC) telah berlangsung Majlis Prapelancaran Kejohanan Bola Sepak 9 Sepasukan Jemputan MAIWP Antara Masjid Seluruh Malaysia 2026 Piala YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan. Turut hadir, Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, Datuk Is. Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP serta Tuan Haji Hanifuddin bin Roslan, Pengarah JAWI.
Bertemakan “Aksi Bola Merdeka”, kejohanan ini menghimpunkan masjid-masjid dari seluruh negara dalam semangat ukhuwah, kesukanan dan kebersamaan, selaras dengan usaha memperkukuh peranan masjid sebagai pusat komuniti yang aktif dan dekat dengan masyarakat.
Sebanyak 32 pasukan dijangka mengambil bahagian dalam kejohanan yang bakal berlangsung pada 29 hingga 30 Ogos 2026 di Padang ILSAS, Bangi, Selangor.
Bagi menyuntik motivasi dan aura profesional kepada para pemain, majlis turut menampilkan beberapa ikon dan legenda bola sepak kebangsaan, Encik Indra Putra bin Mahayuddin, Encik Abdul Malek bin Abdul Rahman serta Encik Mohamad Hardi bin Jaafar.
Melalui penganjuran ini, MAIWP terus komited menjadikan sukan sebagai medium penyatuan ummah serta memperkasakan penglibatan belia dalam aktiviti kemasyarakatan.







