Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Bahagian Pembangunan Insan telah menganjurkan Program Jalinan Kasih Tilawah dan Hafazan Darul Ilmi sebagai platform memperkukuh ukhuwah, menyemarakkan syiar al-Quran serta mencungkil bakat dalam bidang tilawah dan hafazan dalam kalangan peserta.
Program ini menghimpunkan para peserta, warga Darul Ilmi, barisan hakim serta tetamu jemputan dalam suasana yang penuh harmoni dan ukhuwah. Penganjurannya bukan sekadar menjadi medan pertandingan, malah berperanan sebagai wadah memupuk kecintaan terhadap al-Quran, meningkatkan penghayatan terhadap isi kandungannya serta menggalakkan amalan membaca, menghafaz dan memahami kalamullah dalam kehidupan seharian.
Majlis telah disempurnakan oleh Puan Farizah Kamaruddin, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Insan MAIWP. Turut hadir ialah Puan Damithah Ibrahim, Timbalan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Insan MAIWP dan Puan Hajjah Rabiah Bee, isteri kepada pewakaf Darul Ilmi.
Semoga Program Jalinan Kasih Tilawah dan Hafazan Darul Ilmi terus menjadi pemangkin dalam melahirkan generasi yang mencintai al-Quran, berilmu, berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada ajaran Islam. Diharapkan program seumpama ini akan terus memperkukuh silaturahim, menyuburkan budaya al-Quran serta memperkasakan syiar Islam dalam masyarakat.





