MAIWP dan Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), UIAM telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pemindahan ilmu, penyelidikan berkaitan wakaf, zakat dan kemiskinan bandar, pembangunan kapasiti pegawai serta inovasi komuniti untuk manfaat asnaf.
MoU tersebut ditandatangani oleh YBhg. Datuk Haji Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, dan YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, Rektor UIAM. Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP.
Kerjasama selama tiga tahun ini turut merangkumi pembangunan konsep Masjid Warisan yang dicadangkan dibina di Jalan Davis berhampiran Tun Razak Exchange (TRX).
Majlis turut menyaksikan pembentangan akhir Pertandingan Reka Bentuk Konsep Masjid Warisan melibatkan tujuh kumpulan pelajar UIAM. Tiga pasukan terbaik telah disenarai pendek untuk menghasilkan model berskala sebelum dinilai bagi menentukan pemenang.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen MAIWP dalam memperkasakan pendidikan, mencungkil bakat muda serta menghasilkan idea inovatif demi kesejahteraan ummah.





