Seramai 1,345 pelajar cemerlang dan peserta hafazan al-Quran diraikan menerusi Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inspirasi Pendidikan MADANI MAIWP Tahun 2026 yang berlangsung di Kompleks Darul Kifayah, Kuala Lumpur, melibatkan peruntukan keseluruhan melebihi RM3.58 juta.
Daripada jumlah tersebut, 759 pelajar cemerlang akademik menerima insentif berjumlah lebih RM2.34 juta, manakala 586 peserta hafazan al-Quran menerima Insentif Galakan Hafaz Al-Quran berjumlah RM1.24 juta. Pengiktirafan ini diberikan sebagai dorongan agar para pelajar dan huffaz terus mencipta kecemerlangan serta menjadi inspirasi kepada generasi muda.
Majlis turut disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menyeru para pelajar agar tidak berhenti pada kejayaan akademik semata-mata, sebaliknya terus membina sahsiah terpuji, disiplin dan kecemerlangan diri sehingga mampu mengharumkan nama negara. Turut hadir YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, YBhg. Datuk Is. Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, serta barisan ahli MAIWP bersama pengurusan kanan MAIWP.
Sehingga Ogos 2026, MAIWP telah menyalurkan sebanyak RM84.36 juta dana zakat bagi membantu pendidikan anak-anak asnaf dari peringkat sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi. Tahniah dan syabas kepada semua penerima! Semoga kejayaan ini menjadi pencetus semangat untuk terus melangkah lebih jauh serta memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan ummah.






