MAIWP terus komited dalam memperkasa golongan asnaf melalui pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi, termasuk penglibatan dalam program SME Bank iTEKAD ISHRAF yang telah membantu hampir 1,000 usahawan asnaf di seluruh negara sejak tahun 2020.
Majlis Graduasi SME Bank iTEKAD ISHRAF 4.0 yang berlangsung hari ini menghimpunkan wakil daripada 14 Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), termasuk MAIWP. Majlis tersebut disempurnakan oleh YB Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, serta YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Turut hadir, YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, sebagai tanda sokongan berterusan MAIWP terhadap pembangunan usahawan asnaf.
Dalam majlis tersebut, usahawan asnaf bimbingan MAIWP, Ahmad Imran bin Mazlan, telah menerima Anugerah Usahawan Terbaik ISHRAF 4.0 bagi Wilayah Persekutuan.
Beliau mengusahakan perniagaan pembuatan perabot, hiasan dalaman dan papan tanda. Kejayaan beliau sehingga menjadi pembayar zakat membuktikan keberkesanan usaha pemerkasaan ekonomi asnaf yang dilaksanakan oleh MAIWP.
Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan asnaf untuk terus maju dan berjaya.




