Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer telah mengadakan satu lawatan kerja ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Al-Akram, Kg Datuk Keramat, semalam.
Lawatan tersebut bertujuan untuk menilai tahap prasarana dan kemudahan fizikal sekolah bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa untuk para pelajar. Selain itu, lawatan ini juga berfungsi sebagai medium untuk meninjau pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta aktiviti harian sekolah dengan lebih terperinci.
Ketika lawatan berlangsung, Datuk Pengerusi MAIWP meluangkan masa menyantuni warga pendidik dan para pelajar, selain menitipkan pesanan agar murid-murid terus cekal mengimbangi kecemerlangan dalam aspek duniawi dan ukhrawi.
Delegasi lawatan tersebut turut disertai oleh barisan pengurusan kanan JAWI serta pegawai-pegawai daripada MAIWP, iaitu YBrs. Puan Nor Azlin binti Abu Mansor (Penolong Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Insan), Puan Fadhlina binti Yasim (Penolong Pengurus Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Hartanah), dan Encik Muhammad Syahmirul bin Rabuan (Penolong Pengurus Bahagian Agihan Zakat).





