MAIWP SALUR BANTUAN BERNILAI RM1.7 JUTA MENERUSI INISIATIF WILAYAH PRIHATIN UNITY MERDEKA

MAIWP terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa kebajikan golongan asnaf menerusi penyaluran bantuan pendidikan dan kesihatan bernilai keseluruhan RM1.7 juta sempena Program Pengurniaan Sumbangan Wilayah Prihatin Unity Merdeka Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berlangsung di Dataran Merdeka hari ini. 

Majlis tersebut disempurnakan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah.

Turut hadir ialah YABhg. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Dato’ Fadil Marsus, Ketua Polis Kuala Lumpur, serta YBhg. Dato’ Haji Mohd Aizuddin Mohd Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional. 

Hadir sama ialah YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, YBhg. Dato’ Haji Ahmad Azam bin Ab Rahman, Pengerusi PPZ-MAIWP, dan YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, bersama barisan pengurusan kanan MAIWP, PPZ-MAIWP, Yayasan Prihatin Nasional serta rakan-rakan strategik.

Inisiatif ini merupakan manifestasi kerjasama strategik antara MAIWP, PPZ-MAIWP, Yayasan Prihatin Nasional dan rakan korporat dalam memastikan golongan asnaf terus mendapat akses kepada pendidikan berkualiti serta kemudahan penjagaan kesihatan yang lebih baik.

Melalui inisiatif ini, para penerima menerima pelbagai bentuk bantuan meliputi komputer riba, set keperluan asas pelajar, cermin mata, mesin pemeriksaan tekanan darah, kerusi roda,mesin pemeriksaan glukosa serta sumbangan tunai bagi membantu meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan mereka. 

Sebanyak RM1.7 juta dana zakat dikembalikan semula kepada masyarakat melalui mekanisme wakalah, melibatkan sumbangan RM500,000 daripada MAIWP, RM1 juta daripada PPZ-MAIWP dan RM200,000 daripada Habib bagi membantu golongan yang memerlukan.

Penyampaian bantuan ini membuktikan komitmen berterusan MAIWP dalam memastikan dana zakat disalurkan secara berkesan kepada golongan yang benar-benar memerlukan. 

Selain membantu memenuhi keperluan semasa, bantuan yang disediakan turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan melalui sokongan pendidikan serta pemerkasaan aspek kesihatan.

MAIWP percaya bahawa sinergi antara institusi zakat, agensi kerajaan, sektor korporat dan badan bukan kerajaan merupakan pemangkin utama dalam memperluaskan impak bantuan kepada masyarakat. Kerjasama strategik seperti ini bukan sahaja memperkukuh jaringan kebajikan, malah memastikan lebih ramai golongan asnaf dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dan sejahtera.

TOP