Di sebalik hiruk-pikuk kota, masih ada insan yang menjalani kehidupan serba kekurangan dan memerlukan perhatian serta sokongan.
Menerusi Program Jejak Gelandangan MAIWP Siri 3 Tahun 2026,
MAIWP turun padang menyantuni golongan gelandangan dan asnaf bandar, bermula di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (Anjung Kembara) sebelum diteruskan dengan ziarah ke penempatan asnaf sekitar Pudu Raya.
Program ini turut mendapat sokongan NexG Berhad dan pewakalah individu dengan keseluruhan sumbangan bernilai RM21,000.00 merangkumi kelengkapan perabot serta barangan keperluan untuk membantu memberi keselesaan kepada golongan yang disantuni.
Program diteruskan dengan ziarah ke penempatan asnaf di sekitar Pudu Raya. Dua pewakalah MAIWP, Wan Ahmad Sanusi Mahmood dan Zulkefli Mohd Johan, turut menyumbang barangan keperluan berupa bantal, selimut, sejadah dan tuala untuk golongan gelandangan dan asnaf MAIWP.
Turut hadir YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP; YBhg. Datuk Is. Mohd Nizam bin Haji Yahya, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP; YBhg. Datuk Haji Hakim Amir Osman, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP; serta YBrs. Puan Nordina binti Harun, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Program ini turut disertai oleh barisan pengurusan tertinggi dan pegawai MAIWP, PPZ-MAIWP, Yayasan Kebajikan Negara serta NexG Berhad.
Bagi MAIWP, nilai sebuah bantuan bukan sekadar pada jumlah yang diberikan, tetapi pada sejauh mana ia mampu meringankan beban, memberi keselesaan dan menghidupkan kembali harapan.
MAIWP akan terus hadir dan turun padang mendekati masyarakat yang memerlukan, agar mereka tidak merasa tersisih dalam mengharungi cabaran kehidupan.
“Kerana dalam kita memberi, bukan sekadar bantuan yang disampaikan, tetapi harapan yang kita hidupkan.”








