KUNJUNG HORMAT CHILDREN’S PROTECTION SOCIETY MALAYSIA CPSM KE MAIWP

MAIWP–CPSM PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK, PERKASA PERLINDUNGAN KANAK-KANAK DI PPR WPKL

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerima kunjung hormat dari Children’s Protection Society Malaysia (CPSM) bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam menangani isu penderaan kanak-kanak, khususnya dalam komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Delegasi CPSM telah disambut mesra oleh YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP yang turut mempengerusikan perbincangan ini. 

Pertemuan ini bukan sekadar membincangkan isu, tetapi menjadi langkah penting ke arah membina kesedaran, pencegahan dan tindakan awal dalam kalangan masyarakat agar setiap kes penderaan dapat dikenal pasti dan ditangani dengan lebih berkesan.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah usaha memberikan pendedahan kepada komuniti PPR mengenai bentuk-bentuk penderaan, tanda-tanda awal yang perlu diberi perhatian serta kepentingan melaporkan sebarang kejadian yang mencurigakan kepada pihak berautoriti.

Kunjung hormat ini turut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk meneroka ruang kerjasama yang lebih strategik dengan menggabungkan kepakaran, pengalaman dan jaringan komuniti bagi membangunkan inisiatif yang bersasar serta memberi impak yang bermakna.

Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh peranan masyarakat dalam mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, prihatin dan responsif terhadap keperluan serta kebajikan kanak-kanak, khususnya di kawasan PPR.

TOP