Darul Ilmi, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menerima kunjungan YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP dalam satu lawatan kerja yang berlangsung pada hari ini.
Lawatan kerja ini bertujuan meninjau secara dekat pengurusan, kemudahan serta pelaksanaan aktiviti pengajian dan kebajikan warga emas di Darul Ilmi.
Turut hadir bersama dalam lawatan tersebut ialah YBhg. Datuk Nor Salwani binti Muhammad, Ahli MAIWP serta Puan Hajjah Matenelli binti Hashim.
Dalam lawatan ini, YBhg. Datuk Pengerusi berkesempatan meninjau kemudahan dan persekitaran Darul Ilmi, di samping menerima taklimat berkaitan pengurusan serta aktiviti yang dilaksanakan untuk para penghuni.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan MAIWP dalam memastikan aspek kebajikan, pendidikan dan pembangunan sahsiah warga emas terus diberi perhatian. Darul Ilmi, sebagai pusat pengajian berkonsepkan Pondok Moden, merupakan salah satu wadah MAIWP dalam menyediakan ruang pembelajaran agama yang kondusif kepada golongan warga emas.





