YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkesempatan menyantuni dua orang nelayan asnaf, iEncik Jefferydin Abang, 53, dan Encik Kahar Suboh, 63, yang masing-masing merupakan penerima Insentif Perikanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Menerusi insentif tersebut, Encik Jefferydin Abang menerima sebuah bot gentian kaca (fiberglass) berukuran 15 kaki bernilai RM8,900.00 manakala Encik Kahar Suboh menerima sebuah enjin bot bernilai RM7,250.00.
Turut disampaikan cek cura bagi agihan Insentif Perikanan MAIWP Januari hingga Julai 2026 berjumlah RM69,494.00 kepada penerima yang layak di Wilayah Persekutuan Labuan.
Penyaluran insentif berupa aset perikanan ini merupakan antara usaha berterusan MAIWP dalam memperkasa golongan asnaf melalui pendekatan bantuan yang berupaya meningkatkan kapasiti ekonomi, produktiviti serta keupayaan menjana pendapatan secara lebih mampan.
Hadir sama, YB Dato’ Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman, Ahli Parlimen Labuan, YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), YBhg. Tuan Haji Mohd Fauzi Abidin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP, YBrs. Ustaz Mohd Rafie Zakaria, Pengurus MAIWP Cawangan Labuan serta ketua- ketua agensi agama Wilayah Persekutuan.






