KUNJUNGAN HORMAT INCEIF UNIVERSITY KE MAIWP

MAIWP berbesar hati menerima kunjungan hormat YBhg. Assoc. Prof. Dr. Magda Ismail Abdel Mohsin, Associate Professor di INCEIF University, ke Menara MAIWP.

Kehadiran beliau telah disambut oleh Pengerusi MAIWP, YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer.

Pertemuan ini menjadi ruang perkongsian yang bermakna apabila YBhg. Datuk Pengerusi turut menerangkan mengenai struktur organisasi, peranan serta gerak kerja MAIWP dalam melaksanakan amanah berkaitan pembangunan dan kesejahteraan umat Islam di Wilayah Persekutuan.

Sesi perbincangan turut memberi fokus kepada beberapa bidang strategik dalam kewangan sosial Islam, antaranya Wakaf Tunai dan Wakaf Korporat, Zakat serta Qard al-Hasan, selari dengan kepakaran YBhg. Assoc. Prof. Dr. Magda dalam bidang Islamic Social Finance.

Pertemuan ini turut membuka ruang kepada pertukaran pandangan serta penerokaan potensi kerjasama dalam memperkukuh instrumen kewangan sosial Islam agar terus relevan, mampan dan memberi impak yang lebih luas kepada masyarakat.

MAIWP sentiasa terbuka dalam memperkukuh jaringan strategik bersama institusi akademik dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasa agenda pembangunan ummah.

Semoga pertemuan ini menjadi pemangkin kepada sinergi dan kerjasama strategik antara MAIWP dan INCEIF University pada masa akan datang.

TOP