MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN 1448H/2026M

KUALA LUMPUR, 5 September 2026 bersamaan 23 Rabiulawal 1448H – MAIWP bersama-sama menyemarakkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1448H/2026M yang berlangsung di Dewan Muktamar JAWI, Kuala Lumpur.

Majlis yang menghimpunkan kira-kira 1,200 orang tetamu ini melibatkan ketua-ketua agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), ketua-ketua agensi kerajaan, jabatan kerajaan dan swasta, rakan-rakan strategik JAWI, pengerusi-pengerusi masjid, peserta kontinjen perarakan Maulidur Rasul serta masyarakat awam di Wilayah Persekutuan, khususnya Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ucaptama dan perasmian majlis telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, YBhg. Datuk Is. Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP serta Tuan Haji Hanifuddin bin Roslan, Pengarah JAWI.

Mengangkat tema “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”, sambutan ini menjadi wadah untuk menyemarakkan syiar Islam, memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta menghayati dan mencontohi akhlak mulia Baginda.

Majlis ini turut menjadi platform strategik dalam penyampaian ilmu dan perkongsian agenda nasional, khususnya dalam usaha merealisasikan pembentukan masyarakat MADANI yang berpandukan teladan daripada sirah dan kehidupan Rasulullah SAW.

Pelbagai pengisian telah disusun, antaranya Perarakan 27 Kontinjen Maulidur Rasul yang melibatkan wakil agensi kerajaan, badan berkanun, masjid dan surau serta pertubuhan bukan kerajaan. Turut diadakan persembahan khas daripada Ustaz 3 Beradik, Tausiyah Maulidur Rasul serta tayangan video khas penerima Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Maulidur Rasul.

Kemuncak sambutan adalah pengumuman dan penyampaian Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan sebagai tanda penghargaan kepada individu dan organisasi yang telah memberikan sumbangan dalam memperkembangkan serta memartabatkan syiar Islam, khususnya di Wilayah Persekutuan.

Anugerah Khas Maulidur Rasul turut diberikan kepada empat organisasi bagi kategori Dakwah, Masjid/Surau, Pendidikan dan Kemanusiaan. Penganugerahan ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menyumbang kepada pembangunan syiar Islam melalui bidang kepakaran masing-masing.

Selain itu, majlis turut diserikan dengan reruai pameran yang dikendalikan oleh pelbagai agensi dan rakan strategik bagi memberikan pendedahan kepada masyarakat berkaitan perkhidmatan, program serta inisiatif yang ditawarkan. Sambutan turut diakhiri dengan pengumuman dan penyampaian hadiah kepada Kontinjen Terbaik Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1448H/2026M.

Semoga Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1448H/2026M ini terus menjadi pencetus kepada pengukuhan kefahaman dan penghayatan sirah Nabi Muhammad SAW dalam kalangan masyarakat Islam, di samping memperkukuh ukhuwah Islamiah serta perpaduan ummah.

Mudah-mudahan pengiktirafan yang diberikan melalui Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Maulidur Rasul menjadi pemangkin kepada lebih ramai individu dan organisasi untuk terus istiqamah menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan negara, selaras dengan semangat Malaysia MADANI.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

TOP