MEMBINA EKONOMI BERTERASKAN KEMANUSIAAN DEMI KEMAKMURAN BERSAMA

Sebagai langkah menyokong agenda ekonomi inklusif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah diberi pengiktirafan sebagai rakan penganjur Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 berasas kerjasama strategik bersama Forum Ekonomi Manusiawi (FEM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), dan Yayasan Hasanah.

Bertemakan "Reclaiming Humanity for Shared Prosperity", forum bertaraf antarabangsa ini menghimpunkan tokoh pemikir, pembuat dasar, pemimpin industri, ahli akademik, usahawan, pertubuhan masyarakat sivil serta pemimpin belia dari dalam dan luar negara bagi membincangkan pendekatan ekonomi yang lebih berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

Majlis Perasmian HEGD 2026 telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, manakala majlis penutup disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Turut mengambil bahagian YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, dalam sesi wacana “From Policy to People: Making a Humane Economy Real” sebagai salah seorang panel jemputan dengan memberi fokus kepada peranan zakat dalam memanusiakan ekonomi.

Semoga penganjuran HEGD 2026 menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh agenda ekonomi manusiawi yang lebih inklusif, mampan dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.

TOP