MAJLIS AGIHAN DAGING KORBAN KURNIAAN YANG DI-PERTUAN AGONG

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini turut menjayakan Majlis Agihan Daging Ibadah Korban Peribadi Kurniaan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang berlangsung di Surau Jumaat At-Taqwa, PPR Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur.

Majlis anjuran Bahagian Hal Ehwal Islam Istana Negara dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu telah dihadiri oleh Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara.

MAIWP diwakili oleh YBhg. Datuk Mohd Nizam Bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP bersama pegawai-pegawai kanan MAIWP.

Turut hadir wakil-wakil daripada Istana Negara, Jabatan Wilayah Persekutuan, Hospital Kuala Lumpur serta jabatan dan agensi kerajaan.

Dalam ucapannya, Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata sumbangan dan kurniaan Baginda amat besar nilainya kepada rakyat khususnya golongan asnaf fakir dan miskin serta mereka yang memerlukan perhatian dan bantuan.

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan mengurniakan 100 ekor lembu bagi penyertaan Ibadah Korban Sunat Peribadi bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 300 penerima asnaf fakir dan miskin menerima daging korban kurniaan Seri Paduka Baginda. Secara keseluruhan, agihan daging korban tahun ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 14,500 penerima melibatkan 106 lokasi agihan di Kuala Lumpur.

TOP