ISO 37001:2016 ABMS
MAIWP TERIMA SIJIL ABMS DARIPADA SIRIM – DETIK BERSEJARAH ANGKAT MARTABAT TADBIR URUS BERINTEGRITI
KUALA LUMPUR, 25 April 2025
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melakar sejarah tersendiri apabila menerima Sijil ISO 37001:2016 Anti Bribery Management Systems (ABMS) daripada SIRIM Berhad dalam satu majlis gilang-gemilang yang berlangsung pada 25 April 2025 di sini. Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan terhadap iltizam tinggi MAIWP dalam membudayakan nilai integriti dan ketelusan serta memantapkan sistem tadbir urus mengikut piawaian antarabangsa.
MAIWP telah disahkan layak menerima sijil ABMS pada 18 Mac 2024, selepas melalui pelbagai fasa persediaan yang rapi, latihan dalaman, pembangunan polisi dan pematuhan berterusan terhadap prinsip-prinsip integriti dan pencegahan rasuah.
Majlis penyerahan sijil pada 25 April 2025 itu menjadi bukti bahawa MAIWP kini berada di landasan kukuh sebagai agensi agama yang menjunjung nilai amanah, bertanggungjawab dan bebas daripada unsur salah guna kuasa serta penyelewengan.
