PERKHIDMATAN LAIN
PENGERTIAN WAKAF
Bahasa: Berhenti (وقف), Menahan (حبس), Menghalang (منع)
Istilah/Syara’: “Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah S .W.T”
WAKAF
Mengikut Seksyen 61, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] menjelaskan:
“Walau apa pun apa-apa peruntukan yang bertentangan yang terkandung dalam mana-mana suratcara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal atau menyentuh perkara itu, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf khas, semua nazr ‘am, dan semua amanah daripada segala perihal yang mewujudkan apa-apa amanah khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut Hukum Syarak.”
FUNGSI MAIWP SEBAGAI PEMEGANG AMANAH TUNGGAL WAKAF DI WILAYAH PERSEKUTUAN
- Menguruskan penerimaan wakaf daripada orang ramai.
- Mentadbir dan menjaga harta-harta wakaf agar terpelihara dengan sempurna.
- Memberi kefahaman yang jelas kepada masyarakat tentang konsep dan amalan wakaf yang sebenar.
- Meningkatkan penghayatan amalan wakaf dikalangan masyarakat demi memastikan syiar Islam terus unggul.
- Memberi pendedahan yang meluas kepada masyarakat akan kepentingan pembangunan hartanah wakaf.
PROSEDUR MEWAKAFKAN HARTA
- Pemohon perlu mengemukakan surat permohonan untuk mewakafkan harta kepada Baitulmal MAIWP serta melampirkan salinan hakmilik atau apa-apa bukti pengesahan pemilikan harta yang hendak diwakafkan.
- Bagi kes yang tidak mempunyai dokumen hakmilik sebenar, pemohon dikehendaki membuat surat akuan sumpah bagi mengesahkan perkara di atas.
- Pihak Baitulmal akan membuat lawatan dan siasatan terperinci terhadap harta yang hendak diwakafkan supaya status sebenar harta berkenaan dapat dikenalpasti.
- Pewakaf dikehendaki menyempurnakan surat cara wakaf yang disediakan oleh Baitulmal MAIWP.
- Baitulmal akan membuat pindahmilik tanah di Pejabat Tanah Dan Galian Wilayah Persekutuan dan menyelesaikan urusan proses pewakafan.
JENIS-JENIS WAKAF
- Wakaf Khas Pewakaf mewakafkan hartanya untuk tujuan tertentu seperti membina masjid, sekolah agama dan sebagainya.
- Wakaf AmPewakaf mewakafkan harta untuk tujuan kebajikan Islam semata-mata tanpa ditentukan tujuan yang khusus.
RUKUN WAKAF
- Pewakaf (Wakif)
- Harta yang diwakafkan (Mauquf)
- Penerima wakaf (Mauquf Alaih)
- Lafaz Wakaf (Sighah)
SYARAT HARTA YANG DIWAKAFKAN (MAUQUF)
- Harta yang berbentuk kekal yang mempunyai nilai mengikut hukum syarak dan boleh diambil manfaatnya seperti tanah atau bangunan.
- Harta milik sempurna pewakaf
- Harta yang dapat diserahkan dan bukan hartanya ditahan seperti harta orang muflis dan harta anak yatim.
SYARAT-SYARAT SAH WAKAF
- Wakaf tidak dihadkan tempoh tertentu.
- Tujuan dan maksud wakaf hendaklah jelas.
- Wakaf dilaksanakan secara tunai tanpa syarat.
HARTA PUSAKA YANG TERHAK KEPADA MAIWP
Harta pusaka adalah semua harta yang dimiliki oleh si mati semasa hayatnya secara halal dan berterusan hak miliknya hingga kematiannya.
Harta pusaka yang terhak kepada Baitulmal MAIWP adalah harta yang ditinggalkan oleh si mati yang tiada waris atau tiada waris yang layak menghabisi harta tersebut setelah dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum syarak melalui Perintah Pembahagian Pusaka Kecil / Perintah Pembahagian Pusaka oleh Amanah Raya atau Perintah Mahkamah Tinggi.
HARTA PUSAKA TERMASUK:
- Semua harta yang diperolehi secara halal melalui jual beli, hibah, wasiat, pembahagian pusaka, hadiah, sedekah dan sebagainya.
- Sewa yang masih belum dijelaskan kepada si mati.
- Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematiannya.
- Dividen/faedah yang terbit daripada harta si mati.
- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
- Barang yang terbit selepas kematiannya dari usaha semasa hayatnya, misalnya ikan yang masuk ke dalam bubu yang ditahan oleh si mati.
HARTA PUSAKA TIDAK TERMASUK:
- Harta yang telah diberi (hibah), dijual, diwakafkan, dan dipegang amanah oleh si mati kepada seseorang semasa hayatnya.
- Khairat kematian.
- Pemberian oleh orang yang menziarahi kematian.
- Imbuhan, pampasan dan saguhati.
- Pencen terbitan.
- Bayaran-bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO)
- Harta yang dipinjamkan daripada orang semasa hayatnya.
PROSES TERIMAAN HARTA PUSAKA OLEH BAITULMAL
- Terima maklumat harta pusaka yang terhak kepada Baitulmal
- Membuat siasatan awal/mendapatkan keterangan daripada waris/ saudara-mara si mati atau kenalan si mati.
- Mengemukakan kepada Mahkamah syariah untuk mendapatkan Sijil Faraid.
- Mengemukakan permohonan surat kuasa kepada Pejabat Pusaka Kecil, amanah Raya atau Mahkamah Tinggi.
- Menguruskan urusan pindah milik kepada Baitulmal.
TEBUS PUSAKA
Sekiranya Baitulmal MAIWP memperolehi harta tak alih daripada pusaka yang terhak kepadanya, pihak waris boleh menebus harta tersebut berdasarkan nilaian semasa melalui:
- Bicara di Pejabat Pusaka Kecil
- Permohonan kepada Baitulmal
Luqatah bermaksud harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain. Ia juga ditakrifkan harta tanpa milik yang dihormati yang ditemui di sesuatu tempat yang tidak sepatutnya disimpan dan si penemunya tidak mengetahui orang yang berhak ke atas harta tersebut.
PERKHIDMATAN HARTA LUQATAH YANG DISEDIAKAN OLEH MAIWP
- Menerima harta luqatah (harta yang dijumpai) oleh orang awam
- Membuat hebahan kepada orang ramai berkaitan dengan Harta Luqatah yang dijumpai selama setahun.
- Membuat proses pelupusan Harta Luqatah yang telah tamat tempoh hebahan selama 1 tahun samada melalui kaedah sebutharga, lelongan, tender atau dimusnahkan.
PROSEDUR PENYERAHAN HARTA LUQATAH KEPADA MAIWP
- Penemu hendaklah menyerahkan harta yang dijumpai ke Baitulmal MAIWP
- Penemu perlu mengisi borang serahan Harta luqatah dan menyerahkan barang tersebut kepada pegawai bertanggungjawab beserta Harta Luqatah.
- Satu surat akuan terima Harta Luqatah akan diberikan kepada penemu sebagai bukti penerimaan.
- Pihak MAIWP akan mengeluarkan notis penemuan Harta Luqatah di premis awam berhampiran Harta Luqatah ditemui.
Wang atau harta tidak patuh syariah ditakrifkan sebagai harta yang dimiliki dan diperolehi melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, perjudian, loteri, transaksi riba, perlindungan insurans konvensional, keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah dan seumpamanya. PENGGUNAAN WANG TIDAK PATUH SYARIAH
Melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah dinyatakan iaitu:
“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:
- Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah- maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
- Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
- Jika harta tersebut merupakan harta rompakan, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal”.
SERAHAN WANG TIDAK PATUH SYARIAH KEPADA MAIWP
MAIWP melalui Bahagian Baitulmal menerima wang tidak patuh syariah yang ingin diserahkan oleh orang Islam untuk disalurkan bagi kegunaan seperti yang digariskan oleh hukum.
Orang awam yang ingin menyerahkan wang/harta tidak patuh syariah boleh hadir ke Baitulmal MAIWP untuk urusan selanjutnya di mana resit terimaan akan dikeluarkan oleh MAIWP.
Sebarang pertanyaan dan kemusykilan sila hubungi kami melalui email atau datang terus ke pejabat Baitulmal.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Ibu Pejabat)Aras 1,7,9-11, Bangunan PERKIM No. 150, Jalan Ipoh 51200 KUALA LUMPURNo. Tel : 03- 4047 9444 No. Faks : 03- 4044 9444