UOW Malaysia rakan strategik pendidikan
Check folder permmisions!
Admiror Gallery: 5.0.0
Server OS:Apache
Client OS:Unknown
PHP:7.0.33-68+0~20230905.83+debian10~1.gbp571a08
Mohd Na'im Mokhtar menyaksikan pertukaran MoU antara MAIWP dan UOW Malaysia
Kuala Lumpur, 26 Julai - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutun (MAIWP) memeterai memorandum persefahaman dengan University of Wollongong Malaysia College Sdn. Bhd. (UOW Malaysia) berkaitan bidang kejururawatan.
Perjanjian tersebut disaksikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Nai’m bin Haji Mokhtar, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), di Dewan Muslimat, Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Turut hadir Tan Sri Mohd Daud Bakar, Pengerusi MAIWP, Datuk Mohd Ajib Ismail, Pengarah JAWI merangkap Setiausaha MAIWP, Mohd Nizam Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Prof. Dr. Hon Wei Min, Ketua Eksekutif UOW Malaysia, Shanker A/L Sathivellu, Timbalan Naib Canselor (Pentadbiran) UOW Malaysia, Prof Madya Dr. Mohammad Firdaus Low Abdullah, Ketua Projek Khas UOW Malaysia.
Dalam ucapan perasmian, YB Menteri menyebutkan bahawa perjanjian persefahaman tersebut adalah untuk kemaslahatan anak-anak asnaf dengan peruntukan RM13.65 juta kepada 150 pelajar yang mengikuti pengajian dalam tempoh tiga tahuan di UOW Malaysia.
“Menerusi program usahasama ini, anak-anak asnaf di Wilayah Persekutuan akan ditawarkan mengikuti Diploma Kejururawatan di UOW Malaysia dengan tajaan sepenuhnya oleh hospital swasta yang terpilih.
“Setelah tamat pengajian, mereka ini akan terus ditawarkan peluang pekerjaan di hospital swasta,” ujar beliau.
Menurut YB Senator, hasrat MAIWP melalui kerjasama strategik tersebut dapat melahirkan tenaga mahir dari kalangan anak-anak asnaf dan menyediakan tenaga kerja bukan sahaja di negara ini, tetapi boleh dipasarkan ke luar negara.
Mohd Na’im memaklumkan sehingga kini MAIWP telah menjalinkan kerjasama strategik bersama 21 pengendali industri dalam pelbagai bidang, antaranya; pembinaan bangunan, kimpalan, elektrikal, automotif dan bidang penerbangan.
“Kerjasama strategik itu akan diteruskan dan diperluaskan ke pelbagai sektor, antaranya; sektor makanan dan pembuatan yang lain.
“Pada tahun ini, MAIWP memperuntukan sebanyak RM18 juta yuran pengajian dan elaun sara hidup bulanan, oleh itu, saya menyeru kepada mana-mana pemain industri mahupun badan korporat yang ingin sama-sama membangunkan daya saing golongan asnaf untuk tampil bekerjasama dengan MAIWP.
“Inilah, jelas membuktikan manifestasi kesungguhan MAIWP dalam membantu asnaf, bukan hanya membantu asnaf dengan memberi bantuan bersifat “ikan” sahaja, bahkan memberikan mereka “joran” atau “kail” agar mereka dapat berusaha meningkatkan taraf hidup, “ ucap beliau.
Mohd Na’im mengimbas kembali, pada tahun 2022, MAIWP telah mengagihkan sebanyak RM885 juta, dan daripada jumlah tersebut sebanyak RM110 juta diagihkan secara langsung di bidang pendidikan (dari peringkat sekolah rendah sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi), manakala, sebanyak RM31 juta disalurkan melalui institusi pendidikan dan kebajikan di bawah MAIWP.
Terdahulu, semasa memulakan ucapan, YB Menteri membacakan sepotong ayat Al-Quran dalam surah Al-Mujaadalah ayat 11:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”