PERKASA USAHAWAN MAIWP TERAPKAN SEMANGAT KEUSAHAWANAN
Kuala Lumpur, 15 Mac 2023 - Seramai 300 orang usahawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dihimpunkan dalam Program Bual Bicara Niaga @Usahawan MAIWP di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan.
YBhg Tan Sri Dato’ Seri Syed Zainal Abidin bin Syed Mohamed Tahir, Ahli MAIWP berkata, Program Bual Bicara Niaga @Usahawan MAIWP ini cukup bermakna bukan hanya membantu golongan yang memerlukan dalam kalangan umat Islam semata-mata bahkan mengeluarkan mereka dari kemiskinan.
“Perkara penting untuk menjadi usahawan berjaya adalah dengan mempunyai keazaman luar biasa serta mengetahui konsep berkolaborasi seperti yang dilakukan oleh orang China, Korea dan Jepun,” katanya semasa upacara perasmian program.
Dalam program ini beliau turut menyampaikan sijil halal JAKIM kepada seramai 4 orang usahawan, mereka adalah; Nor Tarmidi Md Nor (Popia Frozen), On Isa (Sos Cili), Md Isa Hamat (Muruku) dan Nurul Huda Abdul Hadi (Cookies dan Laksa).
Selain itu, turut disampaikan Sijil Penghargaan dan Wang tunai RM 1,000.00 kepada 3 orang tokoh usahawan cemerlang; Nor Tarmidi Md Nor dengan jualan terkumpul Popia Frozen RM172,827.00, On Isa dengan jualan Sos Cili RM81,800.00 dan Muaz Ibni Azlan dengan jualan bawang goreng RM65,294.17.
Pada sebelah petang diadakan pembentangan tentang peluang niaga bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan FAMA bagi membuka peluang baharu dalam usaha memperkembangkan perniagaan dan melihat untuk kemajuan perniagaan dalam perspektif yang berbeza.
Pada tahun 2022, MAIWP telah berjaya melatih dan membimbing usahawan melalui pelbagai program; Program Pembangunan Keusahawanan, Kursus Asas Keusahawanan, Kursus Forensik, Coaching & Mentoring, Kursus Growthpreneur Success dan Kursus Digital Marketing, melibatkan 1,800 peserta daripada jumlah keseluruhan seramai 4,000 penerima Skim Bantuan Perniagaan dan Bimbingan Keusahawanan di Wilayah Persekutuan.
Program ini merupakan anjuran MAIWP dengan kerjasama PPZ-MAIWP, BIMB, KWSP, MARA, FAMA dan Richworks Internasional Sdn.Bhd.