‘Al-Falah’ Hala Tuju YB Menteri Memperkasa Malaysia Madani
PUTRAJAYA, 31 Januari 2023 – ‘Al-Falah’ (menuju kejayaan) menjadi hala tuju YB Menteri, Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, ketika kali pertama menyampaikan amanat kepada agensi Jabatan Perdana Menteri (JPM) Hal Ehwal Agama seliaan beliau, selepas dilantik menjadi anggota Kabinet Malaysia pada 3 Disember 2022.
YB Menteri menyatakan menerusi pengenalan Al-Falah, perlunya kesatuan fikrah, gerak kerja dan nilai-nilai bersama seluruh kepimpinan agensi Jabatan Perdana Menteri dan menyebutkan satu persatu agensi-agensi hal ehwal Islam itu; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP), Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JPSWP, Lembaga Tabung haji (LTH), Institut Kefahamana Islam malaysia (IKIM), Al Hijrah Media Corporation (TVAlhijrah), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia ( YaPEIM) dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).
Ketika melontarkan pandangan berkaitan gagasan Al-Falah, YB Menteri membacakan dua ayat Quran, surah Ali Imran ayat 103 dan surah Saba' ayat 15:
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."
"Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!."
Berdasarkan kedua-dua surah tersebut, Pelan tranformasi Hal Ehwal Islam dipadankan dengan konsep Membangun Malaysia Madani oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada 19 Januari 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
YB Menteri menjelaskan lima teras dan sepuluh fokus bagi menjayakan Pelan Transformasi Al-Falah;
“Pertama Pentadbiran Islam Mampan memfokuskan pengislahan dasar tadbir urus institusi Islam, dan pemantapan penyelidikan dan persuratan Islam.
“Kedua Kesejahteraan Insan mendepani kemampanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam, dan pengukuhan perpaduan ummah dan keharmonian tamadun.
“Ketiga Kemuliaan Syariah tertumpu kepada memartabat perundangan dan kehakiman Islam, dan penghayatan nilai masyarakat Madani.
“Keempat Kepimpinan Berdaya Cipta membangun pengukuhan kepimpinan generasi muda dan komuniti, dan pemerkasaan kesenian Islam.
“Kelima Kehormatan Institusi Islam melalui penekanan keunggulan pendidikan Islam dan dakwah berhikmah, dan pemodenan prasarana institusi Islam.”
Paduan enam tonggak konsep Membangun Malaysia Madani dengan Pelan Transformasi Al-Falah akhirnya membina lima nilai yang bermutu tinggi melalui; ilmu (berpengetahuan), Integriti (kejujuran, ketulusan), itqan (ketelitian, kesungguhan), istiqamah (ketaatan berterusan) dan ikhlas (hati suci).
Sebelum amanat oleh YB Menteri, penyampaian ibrah telah dilakukan oleh Imam Besar Masjid Negara, Kuala Lumpur, Ustaz Ehsan bin Mohd. Hosni, dengan membaca dan menghuraikan ayat Quran, surah Yusuf ayat 43:
“Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: "Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi.”
Kesalahtuduhan dan fitnah kepada Nabi Yusuf a.s. sehingga beliau meringkuk dalam penjara, walaupun beliau tidak melakukan kesalahan tersebut. Berkat keilmuan dan integriti, Nabi Yusuf a.s. dibebaskan kerana istiqamah dan ikhlas dalam kesabaran ketika menghadapi ujian dan tribulasi kehidupan.