100 pasangan pengantin dirai meriah
KUALA LUMPUR, 29 Januari, 2023 - Persandingan 100 pasangan pengantin asnaf dirai gilang-gemilang sempena Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), buat julung kali di tapak karnival, Dataran Merdeka, Jalan Raja, Kuala Lumpur.
YB Menteri, Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, ketika memulakan ucapan perasmian Majlis Walimatul Urus Perdana mengajak hadirin merenung firman Allah SWT dalam surah Al-Rum ayat 21:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
Di samping merai pasangan pengantin yang sedang bersanding di khemah besar dipenuhi oleh keluarga pengantin sejauh 100 meter, YB Menteri juga merakamkan penghargaan atas penganjuran majlis oleh MAIWP itu:
“Alhamdulillah syukur kita panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, maka buat julung kalinya, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengadakan Majlis Walimatul Urus Perdana pada hari ini.
“Saya terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih kepada MAIWP kerana menjemput saya hadir di majlis pada hari ini seterusnya memberi peluang kepada saya untuk bertemu dengan lebih dekat mereka yang sentiasa disantuni oleh MAIWP, iaitu; golongan asnaf, para penerima bantuan zakat MAIWP,” ucap YB Menteri ketika memulakan ucapan Perasmian Majlis Walimatul Urus Perdana sempena Karnival MAIWP.
Ketika memaklumkan kepada hadirin bahawa MAIWP adalah agensi yang bertanggungjawab mengutip dan mengagihkan zakat di wilayah-wilayah persekutuan; Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Bagi mengukuhkan ucapan beliau, YB Senator membaca sepotong hadith dan menterjemahkan maksudnya:
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Setiap dari kalian adalah pemimpin dan tiap-tiap pemimpin akan diminta pertanggungjawaban.”
“Menyedari betapa besarnya peranan zakat dalam pembangunan kehidupan ummah, MAIWP melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) sentiasa mengambil langkah meningkatkan kutipan zakat setiap tahun.
“Alhamdullilah, berkat usaha warga kerja dan kesedaran pembayar zakat, PPZ-MAIWP berjaya mengutip zakat pada tahun 2022 sebanyak RM937,036,444.09, berbanding kutipan pada tahun 2021 sebanyak RM828,670,791.16, peningkatan 13.08 peratus, iaitu sebanyak RM108,365,652.93.
“Dengan jumlah kutipan yang besar itu, MAIWP sehingga Disember 2022 telah mengagihkan sebanyak RM855,519,208.03 kepada asnaf, dan RM533.61 juta dibelanjakan secara langsung manakala secara tidak langsung RM30.86 juta menerusi institusi pendidikan MAIWP,” ujar YB Senator Menteri.
Ketika menjelaskan tanggungjawab suami isteri pula, pengalaman Dr Haji Mohd Na’im sebagai hakim sebelum ini menyerlah kewibawaan hujahan beliau apabila menjelaskan secara ringkas ayat 21 Surah Al-Rum, Allah SWT memberitahu apabila sebuah perkahwinan dibina, tiga perasaan yang akan terpancar, iaitu; Sakinah, Mawaddah dan Rahmah.
Apakah itu Sakinah
“Sakinah bermaksud ketenangan - contoh bila kita pandang wajah suami, rasa tenang di hati, bila menatap wajah isteri, hilang rasa gelisah, hilang segala masalah yang berselirat.
“Jika ada masalah dengan isteri atau suami sekalipun, selesaikan secara musyawarah, berbincang dan cari penyelesaian bersama.
“Permasalahan kita dapat selesaikan secara bersama, sehingga kita suami isteri berasa tenang, rasa lapang dada.
“Itu maksud Sakinah, sebagai suami, kita menjadi insan yang memberi ketenangan kepada isteri, begitulah sebaliknya.
Apakah pula maksud Mawaddah?
“Dalam bahasa Arab ia bermaksud ‘kecintaan yang begitu tinggi’ atau ‘cinta yang membuak-buak’.
“Seolah-olah kita tidak bertemu lama dengan suami atau isteri kita, contoh, bila kita suami isteri sama-sama bekerja di pejabat, bila balik ke rumah pada 6.00 petang itu, bila bertemu, seolah-olah kita telah berpisah sudah lama seperti kursus di luar kawasan selama seminggu, padahal hanya 8 jam sahaja berpisah, tapi rasa macam seminggu berpisah.
“Seronok sangat bila dapat bersembang bersemuka dengan suami isteri, tidak pernah rasa jemu, rasa cinta dan kasih itu makin bertambah, tidak pernah pudar, itu maksud Mawaddah.
Apa maksud Rahmah?
“Kita sentiasa rasa belas ehsan kepada suami dan isteri kita, maknanya kita terlalu kasih dan ehsan kepada pasangan kita mengatasi kasih kepada teman sekerja dan orang lain, kita rasa gembira dapat membahagiakan pasangan kita, dalam rumah tangga, tidak ada marah-marah tanpa sebab, tidak ada maki hamun, tidak ada kezaliman.
“Inilah matlamat sebuah perkahwinan dalam Islam, memupuk rasa cinta dan kasih sayang sesama suami isteri - itu semua ibadah yang akan dicatat sebagai amal kebaikan,” demikian nasihat YB Menteri ketika menjelaskan pengertian Sakinah, Mawaddah dan Rahmah secara ringkas kepada pasangan pengantin yang diraikan sempena Karnival MAIWP.
Menurut beliau lagi, dalam konteks Wilayah Persekutuan, skim bantuan perkahwinan telah diperkenalkan sejak tahun 2006 bertujuan meringankan beban bakal pengantin ketika mengadakan majlis walimatul urus atau kenduri kahwin dengan kadar bantuan antara RM3,000.00 hingga RM5,000.00 permohonan secara individu.
YB Dato’ Setia juga mengucapkan Alhamdullilah, kerana tarikh 29 Januari 2023 bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur menjadi saksi detik-detik bersejarah 100 pasangan pengantin asnaf diraikan dalam majlis gilang-gemilang yang bertemakan ‘Nostalgia Adat Istiadat Kegemilangan Melayu Islam’ dan para pengantin juga menginap di hotel, diberi sepersalinan pakaian lengkap, menerima wang tunai sebanyak RM2,000 setiap pasangan, menaiki bas ‘KL Hop-On Hop-Off’, diarak dengan paluan kompang dan pertunjukan silat.
Dr. Haji Mohd Na’im secara berseloroh menyatakan bahawa kembar beliau akan menikahkan dua pasangan pengantin sebentar lagi:
“Kembar saya, pada hari ini, Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib bin Ismail, akan menikahkan dua pasang pengantin dan ini pastinya menjadi ingatan dan kenangan yang terindah buat pasangan mempelai.”
Mengakhiri ucapan perasmian beliau, YB Menteri, Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar mengucapkan tahniah kepada MAIWP di atas penganjuran karnival dengan kerjasama rakan-rakan strategik; Pertubuhan Naurah Care Malaysia, Pusat Pungatan Zakat MAIWP, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Kerja Raya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Penerangan Malaysia dan Yayasan Wilayah Persekutuan.