KARNIVAL MAIWP 2023: Wawancara bersama Tan Sri Pengerusi MAIWP
Tan Sri Mohd Daud Bakar, Pengerusi MAIWP, ketika memulakan bicara selepas Majlis Pra-Pelancaran Karnival MAIWP, sebelum diwawancara sidang media oleh para wartawan, beliau memberi gambaran secara ringkas Karnival MAIWP yang dijadualkan pada 28 dan 29 Januari 2023 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, bagi menampakkan MAIWP bukan sahaja pada peringkat Wilayah Persekutuan tetapi berada pada peringkat kebangsaan.
Ada empat teras penganjuran Karnival MAIWP 2023, antaranya; Walimatul Urus Perdana melibatkan 100 pasangan asnaf melalui sokongan MAIWP, pengiktirafan kepada Ikon Usahawan Asnaf, begitu juga kepada Ikon Pendidikan bermula dari tadika sehingga pada peringkat universiti, program santai sosial melalui ‘MAIWP Run’ yang terbuka kepada semua peringkat masyarakat.
Karnival MAIWP 2023 diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Agong dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Agong pada hari pertama untuk merasmikan karnival selama dua hari itu.
Hari yang kedua akan dihadiri oleh YAB Perdana Menteri untuk merasmi dan meraikan 100 pasangan pengantin yang bertuah dipilih penerima skim tajaan perkahwinan dan sokongan kewangan. Ini adalah peringkat Nasional kerana kehadiran YDPA dan barisan Kabinet Negara memeriahkan suasana.
Turut bersama mendampingi Tan Sri Pengerusi MAIWP, di sebelah kiri beliau Mohd Nizam Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP dan di sebelah kanan Haji Abdul Hakim Amir Osman, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP yang menaja MAIWP Run. Beberapa rakan strategik juga bersama menjayakan karnival tersebut.
Berikut adalah sedutan wawancara tersebut :
Wartawan: Assalamualaikum Tan Sri.
Tan Sri Pengerusi MAIWP: Waalaikum salam.
Wartawan: Tan Sri, berapa kali penganjuran karnival dilakukan sebelum ini?
Tan Sri Pengerusi MAIWP: Saya difahamkan, ini adalah kali kedua. Kali pertama sebelum era pendemik. Hasrat penganjuran terpaksa dihentikan disebabkan situasi pendemik. Insyaallah, karnival akan diteruskan, ini adalah acara tahunan. Kita berharap MAIWP diberi kekuatan untuk melakukan penganjuran ini setiap tahun untuk kita menyantuni asnaf dalam keadaan inflasi dan kos ekonomi membebankan yang kian meningkat.
Wartawan: Boleh Tan Sri, ceritakan secara ringkas walimatul urus perdana?
Tan Sri Pengerusi MAIWP: MAIWP melihat dalam memudahkan golongan asnaf berkahwin, sokongan yang boleh dibantu, kita akan ramaikan pasangan berkahwin kerana perkara itu, sunnah yang mudah, sunnah yang senang dan sunnah yang boleh kita buat tanpa adanya bebanan kewangan yang berat. MAIWP wajar membantu demi untuk sokongan kepada golongan asnaf ini.
Wartawan: Daripada 100 pasangan pengantin, berapa ramai dari kalangan mualaf atau saudara baru menyertai program ini?
Tan Sri Pengerusi MAIWP: Tidak ramai di kalangan mualaf, dari segi ratio pun tidak ramai di kalangan asnaf, tidak melebihi 10 peratus. Mereka adalah pasangan yang terpilih untuk berkahwin beramai-ramai pada tahun hadapan sempena Karnival MAIWP.
Wartawan: Berapakah kos yang dibelanjakan untuk menjayakan Karnival MAIWP ini?
Tan Sri Pengerusi MAIWP: Kita tidak ada jumlah yang specifik untuk kos ini. Kos yang ditanggung oleh MAIWP untuk karnival ini sebanyak RM1.5 juta tanpa melihat kos-kos rakan-rakan strategik yang lain seperti PPZ-MAIWP dan lain-lain. MAIWP sebagai badan induk telah menyediakan kos sebanyak RM1.5 juta untuk menjayakan karnival selama dua hari itu. Keseluruhan karnival.
Wartawan: Mungkin sasaran jumlah pengunjung?
Tan Sri Pengerusi MAIWP: Kita jangkakan dengan cuaca yang baik, keadaan yang baik, dengan adanya program cabutan bertuah dan pelbagai persembahan-persembahan sekitar setengah juta atau 500 ribu pengunjung dalam tempoh dua hari itu, jangkaan kta. Jika pengunjung mendekati angka sejuta kita anggap sebagai bonus.
Wartawan: Bantuan RM2,000.00, adakah untuk setiap pasaangan atau untuk individu?
Tan Sri Pengerusi MAIWP: Setiap seorang. Maknanya setiap pasangan akan menerima RM4,000.00 untuk permulaan kehidupan mereka berumah tangga.
Tan Sri Pengerusi MAIWP: Ada soalan lagi?
Wartawan: Tan Sri, mungkin ada pesanan untuk pihak media menyebarluaskan lagi program ini?
Tan Sri Pengerusi MAIWP: Ok. Itulah harapan kami, kita ada batasan (kekangan) yang banyak. Kita harap pihak media menjadikan Karnival MAIWP sebagai tanda aras baru, bagaimana menjadikan agama Islam itu hidup dalam masyarakat. Untuk bahasa moden yang mudah; pendidikan, keusahawanan, sosial, iaitu; 'MAIWP Run' dan isu perkahwinan adalah isu yang besar dalam masyarakat hari ini. Kita harap pihak media dapat uar-uarkan, sebarkan, sebarluaskan dan jadikan program ini dinanti-nantikan oleh masyarakat setiap tahun dengan kita mulai pada tahun hadapan. Jika ada idea dan cadangan, kita alu-alukan. Kita mahu program ini dengan sokongan media dan sokongan masyarakat program yang disebut dinanti-nantikan, disebut setiap tahun kerana faedahnya kepada pengunjungnya, kepada masyarakat, kepada rakyat Malaysia, kepada rakyat Kuala Lumpur, dan kita tidak rugi datang ke karnival ini kerana ada yang kita ‘take away’ dalam program ini, sama ada; makanannya, hiburan, ‘networking’, perkenalan dan juga pelbagai lagi tawaran-tawaran yang menarik di samping persembahan daripada warga artis kita. Kita nak satukan artis dengan agama. Penting kita satukan semua kompenan dalam masyarakat menjadikannya lengkap. Jadi, media adalah jantung sebagai saluran oksigen-penting kepada kami menjadikan program ini benar-benar mendapat perhatian masyarakat, mendapat suatu tindak balas yang baik, datang beramai-ramai dan ‘enjoy the carnival’ dan apatah lagi dua tokok utama, iaitu; kebawah Duli YDPA dan YAB Perdana Menteri untuk memeriahkan program ini.
Wartawan: Terima kasih Tan Sri.
Tan Sri Pengerusi MAIWP: Sama.