PESAKIT HIV/AIDS DIBANTU
BATU, 21 Disember 2022 – Pesakit-pesakit HIV dan AIDS (human immunodeficiency virus (HIV) dan acquired immunodeficiency syndrome (AIDS) ) yang bernaung dengan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) disalurkan dana berjumlah RM210,000.00 melalui asnaf Al-Riqab (untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya) yang berlangsung di ibu pejabat Yayasan AIDS Malaysia, Jalan Sentul, Kuala Lumpur.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Dr. Yusri Mohamad, Ahli MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) kepada Professor Dato’ Dr Adeeba Kamarulzaman Pengerusi MAF, disaksikan oleh Ahmad Talmizi Yahaya, Pengurus Bahagian Agihan Zakat MAIWP.
Melalui peruntukan ini, pihak MAF akan menawarkan subsidi ubat-ubatan Antireretroviral (ARV), jagaan, dan sokongan kepada 25 asnaf Al-Riqab, penerima manfaat di Wilayah Persekutuan dengan kos purata bagi setiap pesakit RM700.00 sebulan.
MAIWP berharap bantuan ini membantu dan memberi peluang kedua kepada mereka untuk bebas dari najis dadah.
Sumbangan adalah kesinambungan daripada bantuan MAIWP kepada MAF berjumlah RM 120,000.00 pada tahun 2021 di bawah program yang sama.