PROJEK CENDAWAN BERIMPAK TINGGI
CHERAS, 18 Disember 2022 - Sejumlah RM547,500.00 dana zakat diperuntukkan oleh MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) untuk menjayakan Program Laman Cendawan Asnaf MAIWP yang bertujuan menjana pendapatan asnaf dan melahirkan Usahawan Agro berjaya.
Menerusi projek ini, seramai 15 peserta mengusahakan projek dengan diperuntukkan sebuah rumah cendawan berukuran 15 kaki lebar dan 20 kaki panjang dengan kapasiti 5 ribu bongkah cendawan dan kelengkapannya setiap ruang.
Bagi menjayakan projek tersebut, MAIWP melantik Yayasan Al-Hikmah sebagai pemantau untuk memastikan aktiviti berjalan dengan lancar.
Majlis Perasmian Laman Cendawan Asnaf MAIWP disempurnakan oleh Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Ahli MAIWP di Laman Cendawan Asnaf MAIWP, Masjid Zaid bin Thabit, Desa Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.
Menurut Tan Sri Dato’ Sri, MAIWP menjangka para peserta menerima pulangan bersih sehingga RM3,500 sebulan.
Tambah beliau lagi, para peserta perlu bersifat ‘itqan’ (tekun) dalam menjalankan peluang dan tanggungjawab yang diberikan dengan bersungguh-sungguh.
Hadir mengiringi beliau, Haji Zainal Abidin Shaikh Zakaria, Ahli MAIWP dan Mohd Nizam Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP.