REFLEKSI PENCAPAIAN MAIWP TAHUN 2022
KUALA LUMPUR, 13 Disember 2022 - Sepanjang tahun 2022 menyaksikan pelbagai program berskala besar dan berimpak tinggi yang berjaya dilaksanakan oleh MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan).
Idea besar ‘Empowering and Enterprising’ bertunjangkan 6 teras strategik utama dapat memandu MAIWP dalam memberi fokus kepada pembangunan asnaf, penjanaan sumber ekonomi Islam yang lebih mampan.
Pembangunan hartanah yang komprehensif dengan elemen ‘Islamic City’, pemerkasaan modal insan di institusi Pendidikan MAIWP dan penglibatan yang meluas dan efektif bersama komuniti serta transformasi digital dalam mencipta pembaharuan, membuat penambahbaikan dan mengarus perdanakan MAIWP dalam mendepani perubahan.
Perkara ini ditekankan oleh Mohd Nizam Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan MAIWP kali ke-12 tahun 2022.
Beliau selaku pengemudi MAIWP menyifatkan perancangan dan penambahbaikan yang dilaksanakan tidak akan dapat dilaksanakan tanpa penglibatan semua warga MAIWP dari semua peringkat, peranan masing-masing, sama ada sebagai seorang pemandu, pembantu operasi sehinggalah ke peringkat pengurusan.
Perhimpunan terakhir tahun 2022 diceriakan melalui pengumuman pelantikan Mohd Fauzi Abidin, selaku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) yang baharu, dapat bersama-sama keluarga MAIWP ke arah merealisasikan visi MAIWP sebagai peneraju kesejahteraan ummah secara holistik dan merancang perjuangan yang lebih mampan untuk tahun 2023.