DEDIKASI MAIWP BANTU PELAJAR IPT
SEGAMBUT, 5 November 2022 - Aisyah Yap Abdullah graduan Diploma Fisioterapi diiktiraf sebagai Penerima Anugerah Pingat Emas Perdana MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) sempena Majlis Konvokesyen UCMI (University College MAIWP International) kali Ke-12 dan ke-13 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Sepanjang pengajian, beliau menerima bantuan MAIWP bagi membiayai keperluan pengajian.
Beliau berharap, dengan Diploma yang diterima bakal mengubah diri dan membantu keluarganya.
Perkara ini turut menerima maklum balas positif daripada Tan Sri Sulaiman Mahbob, Pengerusi Lembaga Pengarah UCMI.
"UCMI menzahirkan penghargaan kepada MAIWP atas sumbangan berterusan kepada para pelajar yang terdiri dari golongan asnaf dan B40".
"Bantuan ini nyata suatu bentuk pemerkasaan ummah ke arah membawa golongan penerima zakat ini menjadi pembayar zakat di masa hadapan", ujar Tan Sri Sulaiman pada ucapan pembukaan majlis penuh istiadat ini.
Pengisytiharan Pembukaan Sidang Pertama Majlis Konvokesyen ini disempurnakan oleh Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi MAIWP.
Seramai 1,937 graduan menerima diploma melibatkan 1,208 graduan bagi tahun 2021 dan 729 graduan tahun 2022.