MAIWP JAYAKAN LATIHAN INDUSTRI GRADUAN ASNAF, B40
WTC, 18 Jun - Detik bersejarah kepada 109 pelatih, Latihan Kemahiran Industri MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) daripada 7 agensi industri berjaya menamatkan pengajian dalam bidang yang diceburi diumumkan sebentar tadi.
Lebih membanggakan, pelatih-pelatih terlibat telah ditawarkan pekerjaan sejak Mac 2022 sejurus mereka menamatkan pengajian.
Majlis Graduasi & Apresiasi Asnaf Latihan Dan Kemahiran Industri MAIWP tahun 2022 telah dirasmikan oleh Tuan Haji Zainal Abidin Shaikh Zakaria, Ahli MAIWP di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Dalam ucapannya, Tuan Haji Zainal berkata, tahun ini, MAIWP memperuntukkan RM3 juta, meliputi; yuran pengajian dan elaun sara hidup bulanan pelajar untuk Latihan Kemahiran Industri ini.
Tambah beliau, pendidikan merupakan satu ejen yang berpotensi untuk mengeluarkan individu dan keluarga mereka daripada kepompong kemiskinan dan dengan ilmu juga, ia menjadi asas untuk mereka berjaya dalam kehidupan.
Beliau turut menyampaikan sijil graduasi beserta seutas jam tangan kepada 109 pelajar dan 7 pelajar terbaik menerima tambahan saguhati wang tunai RM500.00 setiap seorang.
Sejak tahun 2020, MAIWP telah memperkenalkan Bantuan Latihan Kemahiran Industri, matlamat utamanya untuk membawa asnaf keluar dari kepompong kemiskinan.
Bantuan ini memberi fokus memperkasa kompetensi dan kemahiran pelatih disamping mempertingkatkan kebolehpasaran pekerjaan dalam bidang yang mereka ceburi.
Sebagai rekod, MAIWP telah menjalinkan kerjasama strategik bersama 18 pengendali industri dalam pelbagai bidang, antaranya; pembinaan bangunan, kimpalan, elektrik, automotif, termasuk bidang penerbangan.