HARI GURU MAIWP DIRAI MELALUI 'GAYA HIDUP SIHAT'
Batu Muda, 18 Jun – MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) melalui Bahagian Pembangunan Insan (BPI) telah menganjurkan Program Perhimpunan dan Sukan sempena Sambutan Hari Guru Institusi Pendidikan MAIWP 2022 yang diadakan di Kompleks Darul Kifayah, Batu Muda, Kuala Lumpur.
Sekitar 500 pelajar dan guru daripada 14 Institusi Pendidikan MAIWP hadir memeriahkan program ini, antaranya; Sekolah Menengah Agama MAIWP (SMA-MAIWP), Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz MAIWP (SMISTA), Pondok Moden Al 'Abaqirah (PMA), Permata MAIWP, PICOMS (PUSRAWI International College of Medical Sciences) dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL).
Pengisian program dimulakan dengan sesi penyampaian amanat oleh Tan Sri Dato' Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIWP merangkap Ahli MAIWP.
Tan Sri Dato' Sri Syed Zainal dalam ucapan ringkasnya berkata guru memainkan peranan yang penting untuk memastikan asnaf di Kuala Lumpur keluar dari kepompong kemiskinan.
Tambah beliau, MAIWP mengeluarkan peruntukkan yang tinggi iaitu RM176 juta setahun untuk laluan pendidikan.
Guru juga perlu mempelbagaikan proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di dalam kelas agar pelajar lebih tertarik untuk mengikuti pelajaran tersebut dan memahami apa yang diajar.
Sempena program ini, pelbagai acara disediakan, antaranya; pertandingan Bola Tampar, Badminton, Ping Pong, Futsal, Bola Jaring dan Sepakan Penalti.
Dengan penganjuran program riadah dan motivasi ini, pastinya dapat mengukuhkan ukhuwah di kalangan pelajar dan guru-guru daripada 14 Institusi Pendidikan di bawah MAIWP.
Hadir sama Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob dan Prof Dr. Roslan Mohd Noor, kedua-duanya Ahli MAIWP dan Encik Mohd Nizam Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP.