MAIWP GCM KERJASAMA REALISASI PELAN DIGITAL
Kuala Lumpur, 8 Jun 2022 - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Google Cloud Malaysia (GCM) bagi merealisasikan inisiatif di bawah inisiatif Pelan Tindakan Digital MAIWP.
MAIWP telah memulakan inisiatif Pelan Tindakan Digital MAIWP - (MAIWP Digital Blueprint) bertujuan meningkatkan penggunaan teknologi di MAIWP.
Google Cloud Malaysia memainkan peranan penting dalam peningkatan perkhidmatan pendidikan digital yang ditawarkan oleh MAIWP melalui MAIWP Digital Education Centre (MAIDEC), sebuah pusat yang dibangunkan oleh University College MAIWP International (UCMI), yang dahulunya dikenali sebagai PICOMS.
Majlis MoU ini menyaksikan pertukaran dokumen di antara Encik Mahadi Sukarno, mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan Raja Azmi Adam, mewakili Google Cloud Malaysia.
Turut hadir menyaksikan detik bersejarah ini, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, Pengarah Google Malaysia, Marc Woo dan Tan Sri Dato' Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIWP merangkap Ahli MAIWP di ibu pejabat Google Malaysia.
Melalui pengurusan akses, peranti, perlindungan data dan keupayaan penyulitan data, Google Workspace for Education turut membantu institusi pendidikan mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang selamat dan terjamin.
MAIWP melalui MAIWP Digital Education Center (MAIDEC) telah merangka program ekstensif bersama Google, antaranya; satu bengkel bagi Google dan MAIWP merencanakan solusi teknologi terbaik bagi peningkatan operasi.
Pelajar di institusi pendidikan MAIWP serta anak-anak tajaan MAIWP akan diberikan akses penggunaan Google Workspace Education Plus, yang memberikan akses kepada alat pembelajaran yang mudah digunakan dan selamat untuk pembelajaran, kolaborasi, dan komunikasi.