BOOST URUS RM110.4 JUTA ‘ZERO HUNGER’ ASNAF MAIWP
Kuala Lumpur, 31 Mei - Seramai 30,200 asnaf penerima Bantuan Kewangan Bulanan MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) bakal menerima manfaat daripada program Kasih Asnaf ’Zero Hunger’.
Program ini merupakan transformasi teknologi digital pengagihan zakat dan agihan zakat tanpa tunai (cashless) Baitulmal yang komprehensif bagi tujuan pembelian barangan keperluan asasi.
Bagi membantu para asnaf menangani kos sara hidup yang kian meningkat, MAIWP membuat peruntukkan tambahan sebanyak RM110,400,000.00 sebagai ‘e-wallet’ kepada asnaf menebus barangan keperluan harian bernilai RM150.00 setiap bulan bermula Jun 2022.
Perkara ini telah ditekankan oleh YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika merasmikan Majlis Semarak Syawal & Pelancaran Agihan Pembekalan Barangan Kepada Asnaf Tanpa Tunai di Dewan Felda Perdana D’saji, Jalan Maktab Off Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Tambah beliau, melalui program ’Zero Hunger’, asnaf akan menerima barangan tambahan keperluan asas secara terus dari kedai-kedai yang terpilih, bukan sahaja barangan makanan, tetapi tong gas juga boleh asnaf tebus menerusi program ‘Zero Hunger’ ini.
Inovasi ini sejajar dengan perkembangan teknologi berasaskan digital, dan MAIWP turut bersama dalam arus perdana mendigitalkan perkhidmatan kepada masyarakat.