MAIWP SUMBANG RM1.03 JUTA KEPADA 12 BUAH HOSPITAL
Purajaya, 8 April - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM1.03 juta kepada Tabung Kebajikan 12 buah hospital dan pusat perubatan di Wilayah Persekutuan bagi membantu pesakit asnaf dan kurang berkemampuan.
Sumbangan ini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh hospital dan institusi kesihatan untuk membantu para pesakit yang kurang berkemampuan yang memerlukan peralatan perubatan, pembelian ubatan khas dan bantuan am seperti pembedahan atau rawatan susulan.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh YB Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam satu majlis di Hospital Putrajaya.
Majlis turut dihadiri oleh Dr. Hariati Jamil, Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Putrajaya, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi MAIWP, Dato' Haji Adnan Mat, Presiden CUEPACS dan Encik Mohd Nizam Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP.
YB Senator Datuk Haji Idris dalam ucapannya berkata sehingga Februari 2022, MAIWP telah mengagihkan Bantuan Perubatan kepada 1736 orang dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM4,396,959.51 bertujuan menampung kos rawatan dan peralatan kesihatan kepada golongan yang kurang berkemampuan.
“Kemampuan untuk menyediakan peruntukan yang besar ini berjaya dilaksanakan oleh MAIWP hasil daripada komitmen para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan.
“Oleh itu, mewakili MAIWP, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pembayar zakat MAIWP dan Pusat Pungutan Zakat MAIWP kerana dengan zakat anda, MAIWP mampu melaksanakan pelbagai program agihan,” ucap YB Menteri.
Penerima sumbangan berkenaan ialah tabung kebajikan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Canselor Tunku Muhriz, Hospital Putrajaya, Institut Kanser Negara, Yayasan Institut Jantung Negara, Hospital Labuan, Hospital Kanak-Kanak dan Wanita Tunku Azizah, Hospital Angkatan Tentera Malaysia Tunku Mizan, Hospital Rehabilitasi Cheras dan Majlis Kanser Negara.
Selain itu juga, MAIWP juga menawarkan Bantuan Perubatan kepada asnaf di Wilayah Persekutuan iaitu Bantuan Perubatan Am, Bantuan Hemodialisis, Bantuan Peralatan Kesihatan dan Bantuan Khas Kanak-Kanak OKU.
Menerusi bantuan ini sehingga Februari 2022, MAIWP telah membantu seramai 1,736 orang penerima dengan perbelanjaan sebanyak RM4.40 juta.