PEMBESTARIAN PENDIDIKAN MAIWP - TRANSFORMASI ICT
Batu Muda, 31 Mac – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berhasrat mewujudkan ekosistem pendidikan berfokus kepada golongan asnaf secara holistik.
Perkara ini dapat direalisasikan seiring dengan dasar utama objektif MAIWP melalui Blueprint Pendidikan MAIWP 2025.
"Pengagihan zakat dalam bidang pendidikan hendaklah dilaksanakan dengan lebih fokus melalui strategik yang sentiasa dinamik," ucap Tan Sri Dato' Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIWP merangkap Ahli MAIWP sempena Majlis Amanat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIWP dan Program Pembestarian Pendidikan MAIWP Transformasi ICT yang diadakan di Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS (PUSRAWI International College of Medical Sciences).
Tambah beliau:
“MAIWP sedang menyusun 31 strategik dengan 69 Pelan Tindakan (KPI) disusun untuk tempoh 2021 - 2025.
“Keutamaan mengaplikasikan pembelajaran secara digital serta meningkatkan interaksi bersama industri dan komuniti.
“Bagi memastikan perancangan dan hasrat ini dapat dilaksanakan, beberapa tindakan telah digariskan seperti berikut:-
i) Pemerkasaan struktur organisasi pendidikan melalui penubuhan Yayasan Pendidikan MAIWP. MAIWP telah melantik UKM sebagai pakar runding untuk membuat 'Feasibility Study' dan dijangka selesai dalam tempoh 3 bulan;
ii) Pembiayaan sebahagian kos pendidikan melalui penerokaan pelbagai sumber yang berpotensi termasuk pemerkasaan wakaf, dana wakalah dan sumbangan korporat;
iii) Menjenamakan institusi sedia ada, iaitu; Darul Kifayah MAIWP kepada sekolah peringkat menengah menggunakan model MRSM dengan kerjasama MARA mulai tahun 2023 atau selewatnya 2024;
iv) Universiti Antarabangsa MAIWP yang akan memayungi institusi pendidikan tinggi yang dijangka pada tahun 2023;
v) Pembangunan Kompleks Kecemerlangan Pendidikan Islam di Presint 18, Putrajaya, sebagai Pusat Kepimpinan dan Kecemerlangan Pelajar;
vi) PICOMS sebagai Pusat Digitalisasi Pendidikan MAIWP yang memberi akses kepada semua institusi;
vii) Kolej Profesional Baitumal Kuala Lumpur (KPBKL) MAIWP sebagai Pusat Latihan Pembangunan Modal Insan MAIWP sesuai kedudukannya sebagai pusat pembelajaran umum;
viii) Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) MAIWP menawarkan program Diploma Kemahiran Malaysia dan sebagai Pusat Jalinan Komuniti MAIWP;
ix) Penentuan dasar sumber peruntukan bagi tujuan pembinaan dan menaik taraf bangunan; dan
x) Penekanan digitalisasi dalam pembelajaran secara maksima. Cadangan mewujudkan Pusat Digitalisasi MAIWP yang boleh dimanfaatkan bukan hanya oleh pelajar di institusi MAIWP, malahan oleh puluhan ribu pelajar asnaf MAIWP.”