INSTRUMENT PENDIDIKAN PELAPIS NEGARA
Kuala Lumpur, 26 Mac - Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melakar sejarah lagi apabila seramai 694 graduannya menerima Diploma dan Sijil Profesional United Kingdom pada Majlis konvokesyen ke-14 sebentar tadi.
Majlis penuh istiadat ini telah disempurnakan oleh Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi MAIWP di Matrade Exhibition Convention Centre (MECC).
Nur Hidayah Mohd Teridi dinobatkan sebagai penerima Pingat Emas Menteri dengan membawa pulang wang tunai RM3000 sumbangan Pusat Pungutan Zakat - MAIWP atas pencapaian cemerlang beliau dalam akademik, ko-kurikulum dan kerjaya.
Ketika ditemui, beliau amat bersyukur kerana berpeluang belajar di salah satu institusi pendidikan MAIWP dan melakar kejayaan di sini.
Nur Hidayah merupakan graduan Diploma Pengurusan Industri Halal (DPIH) dan kini bertugas sebagai Eksekutif Halal di Serunai Commerce Sdn Bhd.
Pada Majlis Konvokesyen kali ini seramai 694 Graduan diraikan:-
* 212 - Graduan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah.
* 61 - Graduan Diploma Pengurusan Zakat dan Wakaf.
* 128 - Graduan Diploma Pengurusan Industri Halal (DPIH).
* 34 - Graduan Diploma Pengajian Muamalat.
* 48 - Graduan LCCI.
* 25 - Graduan Certified Account Technician (CAT).
* 112 - Graduan Diploma Perniagaan.
* 74 - Graduan Diploma Perakaunan.
Bersempena 30 tahun KPBKL MAIWP dalam industri pendidikan, tahun ini, pihak industri telah membuktikan pengiktirafan terhadap graduan KPBKL MAIWP dengan penganugerahan pelbagai anugerah sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian para graduan.
Di antara anugerah yang diberikan adalah dua Anugerah Lembaga Pengarah KPBKL MAIWP, enam Anugerah Pengerusi KPBKL MAIWP, satu Anugerah Pengerusi MAIWP dan satu Anugerah Pingat Emas Menteri.
KPBKL MAIWP merupakan institut pengajian tinggi swasta milik penuh MAIWP yang ditubuhkan pada 23 April 1992 bermatlamat untuk melahirkan profesional muslim dan seterusnya meningkatkan taraf ekonomi umat Islam.