MAIWP FC BEREKREASI SAMBIL BERWAKAF
Batu Muda, 26 Mac - MAIWP bukan sahaja mengasah kerjaya pegawai-pegawainya dalam bidang pentadbiran dan kewangan semata, tetapi penglibatan sukan dan berwakaf turut diterapkan dalam setiap warganya.
Atas dasar keseimbangan kerjaya dan sukan, rekreasi dan kebajikan, MAIWP telah melahirkan MAIWP FC untuk memperkenalkan MAIWP dalam arena bola sepak.
Sebanyak 11 pasukan bola sepak di bawah Agensi Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah menyertai kejohanan ini.
Antara agensi yang terlibat adalah JAKIM, JAWI dan PPZ-MAIWP.
Setiap pasukan bertanding terdiri daripada 8 orang pemain termasuk penjaga gol.
Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi MAIWP telah melancarkan kejohanan ini dengan melakukan perasmian di padang Kompleks Darul Kifayah, Batu Muda Kuala Lumpur.
Dalam majlis yang sama, MAIWP FC menyahut seruan Tan Sri Pengerusi MAIWP sebagai tanda sokongan kepada Kempen Tahun Wakaf Wilayah Persekutuan 2022, dengan mewakafkan 10% daripada hasil jualan tanaman berjumlah RM 342.10 kepada Pusat Wakaf MAIWP Sdn. Bhd.
Perkara ini direalisasikan apabila MAIWP FC menggunakan sebahagian daripada Tapak Padang Bolasepak MAIWP FC dengan penanaman beberapa jenis tanaman seperti tebu dan terung.