880 AMIL FITRAH WP
Kuala Lumpur, 16 Mac - MAIWP melantik seramai 74 Ketua Amil dan 806 Amil di seluruh Wilayah Persekutuan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi menjalankan urusan pungutan zakat fitrah 1443H.
Perkara ini dinyatakan oleh Encik Mahadi Sukarno, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP ketika merasmikan majlis penutup Kursus Pengurusan Zakat Fitrah MAIWP Tahun 2022.
Tambah beliau, para Amil yang dilantik diwajibkan mengikuti kursus selama dua hari untuk didedahkan mengenai tatacara kutipan zakat fitrah secara norma baharu.
Ketua Amil dan Amil fitrah dilantik akan menjalankan kutipan secara tunai sahaja manakala PPZ-MAIWP membuat kutipan secara atas talian (online).
Kaedah penyelarasan kutipan zakat juga telah dibuat oleh pihak pengurusan MAIWP agar urusan pungutan zakat fitrah dapat dijalankan dengan sistematik dan terbaik.
Semestinya harapan MAIWP untuk meningkatkan jumlah kutipan zakat dapat direalisasikan agar usaha mengagihkan zakat kepada golongan asnaf dapat dipertingkatkan dan realistik.