'BLUEPRINT' PENANDA ARAS PENDIDIKAN MAIWP
Bangi, 15 Februari - Melalui 'blueprint' Pendidikan MAIWP 2025, MAIWP meletakkan satu penanda aras bagi meningkatkan kualiti dan akses pendidikan kepada anak-anak keluarga asnaf dan B40.
Perkara ini ditekankan oleh Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Antara MAIWP & UKM dalam bidang pendidikan di bangunan Canselori UKM, Bangi Selangor Darul Ehsan.
"MAIWP meletakkan bahawa pendidikan menjadi keutamaan dalam mentransformasikan keluarga asnaf dan keluarga B40.
"Lantaran itu, setiap tahun MAIWP menetapkan jumlah agihan yang cukup besar dalam pendidikan", ujar Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar.
MoU yang ditandatangani antara MAIWP dan UKM meliputi skop kerjasama yang merangkumi tiga elemen utama, iaitu; pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan & komuniti dan melaksanakan kajian berimpak tinggi untuk meningkatkan profesionalisme guru-guru MAIWP di semua peringkat.
Beberapa kajian pembangunan diri pelajar yang berimpak tinggi dan berskala juga akan dilaksanakan terutamanya membangunkan modul, latihan dan bahan pengajaran.
Agihan zakat bukan sekadar berfungsi sebagai suntikan penenang, ia juga ubat penyembuh yang boleh membasmi penyakit hingga ke akar umbinya.