PENINGKATAN 8.78% KUTIPAN ZAKAT 2021
Check folder permmisions!
Admiror Gallery: 5.0.0
Server OS:Apache
Client OS:Unknown
PHP:7.0.33-68+0~20230905.83+debian10~1.gbp571a08
Kuala Lumpur, 10 Januari - MAIWP mengumumkan prestasi kutipan dan agihan zakat tahun 2021 hari ini.
Jumlah keseluruhan kutipan zakat harta dan zakat fitrah oleh anak syarikat MAIWP melalui PPZ-MAIWP tahun 2021 berjumlah RM828,670,791.16 dengan jumlah pembayar 1,152,297 orang.
Daripada jumlah tersebut; RM816,483,466.58 zakat harta dan RM12,187,324.58 zakat fitrah.
Jumlah pembayar zakat harta 264,463 orang dan pembayar zakat fitrah 887,834 orang.
Jumlah kutipan zakat harta meningkat 9% daripada RM750,704,218.09 tahun 2020 kepada RM816,483,466.58 tahun 2021.
Begitu juga jumlah pembayar daripada 237,119 orang pada 2020 meningkat kepada 264,463 orang pada 2021 iaitu peningkatan 12%.
Kutipan zakat fitrah turut meningkat 10% daripada RM11,055,587.69 tahun 2020 kepada RM12,187,324.58 pada 2021 dengan jumlah pembayar 786,024 orang kepada 887,834 orang dengan kenaikan 13%.
Walaupun situasi Covid-19 memberi kesan kepada ekonomi negara; ramai hilang pekerjaan dan punca pendapatan, namun tidak dinafikan, terdapat perniagaan membuat keuntungan, contohnya perniagaan secara dalam talian dan menggandakan bayaran zakat mereka.
Pencapaian ini adalah hasil daripada aktiviti promosi dan dakwah zakat yang berterusan oleh semua pihak serta kesedaran mengenai zakat dalam kalangan masyarakat.
MAIWP dan anak syarikatnya, PPZ-MAIWP, sentiasa proaktif dalam memastikan kesedaran menunaikan zakat dalam kalangan masyarakat terus meningkat agar nasib asnaf terbela.
Turut menyumbang kepada peningkatan kutipan zakat adalah kepelbagaian saluran bayaran zakat seperti perkhidmatan Kaunter Zakat Digital, Portal PPZ-MAIWP, Aplikasi MyZakat, MyTemujanji, Door To Door servis, Ride 2U dan sebagainya yang memudahkan urusan pembayaran zakat dilaksanakan.
Penutupan beberapa sektor ekonomi semasa Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan menyebabkan ramai pekerja dari sektor pembuatan, sektor perniagaan terutamanya mereka yang bekerja sendiri jatuh dari golongan B40 malahan ada yang dari M40 kepada asnaf.
Tiada simpanan kecemasan, menyebabkan golongan ini jatuh menjadi ‘instant asnaf’ dan memerlukan bantuan. Ini dapat dilihat melalui data peningkatan 14,746 orang penerima tahun 2021, iaitu dari 201,779 orang kepada 216,525 orang penerima bantuan secara langsung menerusi Skim-Skim Bantuan zakat MAIWP pada tahun 2021.
Sejak bermula PKP 1.0 sehingga PKP 3.0, MAIWP telah mengagihkan hampir RM106 juta membantu golongan terjejas akibat pandemik menerusi pelbagai inisiatif dan kumpulan sasar.
MAIWP, contohnya telah pun mengambil inisiatif pemberian vaksinasi kepada asnaf dan masyarakat sekitar menerusi inisiatif PPV Bergerak ke 4 Parlimen di Wilayah Persekutuan.
MAIWP juga telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi Kerajaan dan NGO dalam memastikan kebajikan asnaf terjaga; antaranya menerusi program Gerobok Rezeki di 100 buah sekolah menengah dan rendah di Wilayah Persekutuan, di masjid dan surau, serta diperluaskan ke Tadika-Tadika Islam milik MAIWP.
Selain itu, menerusi inisiatif MAIWP Prihatin-Kasih Asnaf, MAIWP telah menyantuni ramai golongan yang terjejas pendapatan akibat pandemik, antaranya; pengusaha dan pemandu teksi, pemandu e-hailing, pengusaha bas sekolah, pengusaha dan pekerja kantin sekolah dan beberapa sektor lain akibat penutupan operasi semasa PKP dikuatkuasakan.
Terbaharu, MAIWP memperuntukkan bantuan tambahan di bawah Program Sentuhan Kasih MAIWP-Misi Banjir 2.0 RM35 juta bagi membantu meringankan beban mangsa banjir akibat kerosakan harta benda.
Atas dasar kebersamaan, bantuan MAIWP diperluaskan lagi di negeri-negeri yang turut terjejas banjir. Bantuan ini merupakan kesinambungan daripada bantuan awal sebanyak RM2.25 juta yang telah pun disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di Kuala Lumpur.
Sehingga Disember 2021, MAIWP telah mengagihkan RM725,144,762 juta secara langsung dan secara tidak langsung menerusi 30 Skim Bantuan Baitulmal MAIWP; meliputi Pendidikan dan Kebajikan, pengurusan, bayaran amil, perbelanjaan pembangunan dan penyelenggaraan prasarana.
Majlis ini disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Tuan Haji Idris Haji Ahmad. Turut hadir Pengerusi MAIWP, Tan Sri. Dr. Mohd. Daud Bakar, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Ustaz Mohd Nizam Yahya dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman.