BANTUAN ONE – OFF KEPADA PEKERJA AGENSI PELANCONGAN
Putrajaya, 26 Oktober – MAIWP memperkenalkan satu lagi inisiatif melalui Program Kasih Asnaf 3.0 iaitu sumbangan kepada pekerja agensi pelancongan yang terjejas berjumlah RM2.5 juta.
Simbolik penyerahan replika cek bantuan one-off kepada pekerja agensi pelancongan ini telah disempurnakan oleh, YB Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada Sheikh Awadh Sheikh Abdullah, Pengerusi Malaysia Association of Tour and Travel Agents (MATTA) Cawangan Kuala Lumpur dan disaksikan oleh Pengerusi MAIWP, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar.
YB Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary yang ditemui pada majlis tersebut berkata sebanyak RM500.00 one-off akan disalurkan kepada 5,000 orang pekerja agensi pelancongan yang menetap di Wilayah Persekutuan.
" Penerima bantuan ini akan ditentukan oleh pihak Matta di mana rekod akan diberikan oleh MAIWP dan kita mempunyai sistem yang terbaik untuk data asnaf".
Tambah beliau, Ini merupakan salah satu inisiatif daripada MAIWP sebagai agensi yang memainkan peranan penting bagi menzahirkan semangat kebersamaan di antara semua agensi kerajaan termasuk badan kebajikan yang menjaga kebajikan ahli yang terjejas pendapatan.
Turut hadir pada majlis ringkas ini Encik Mohd Nizam Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Encik Ahmad Talmizi Yahaya Pengurus Bahagian Baitulmal.
Sehingga kini, MAIWP telah mengagihkan sebanyak RM112.57 juta menerusi Program MAIWP Prihatin - Kasih Asnaf 3.0, program inisiatif yang MAIWP laksanakan sepanjang tempoh pandemik bagi membantu masyarakat terutamanya asnaf dan golongan B40 yang terjejas.