PELAJAR IPT TERKANDAS TERIMA BANTUAN BERTERUSAN DARIPADA MAIWP

Saiz Tulisan :

mini IMG 20201005 154807

Batu Muda, 5 Oktober- MAIWP telah membantu pelajar Kolej Antarabangsa Sains Perubatan PUSRAWI (PICOMS) dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) yang terkandas apabila pendaftaran ditangguhkan susulan peningkatan kes COVID-19.

MAIWP prihatin atas situasi yang berlaku ini dan segera menyalurkan bantuan berkaitan kepada para pelajar institusi pengajian tinggi di Wilayah Persekutuan khususnya institusi milik MAIWP iaitu PICOMS dan KPBKL yang terkandas dan memerlukan bantuan.

Bantuan telah disalurkan dalam Majlis Sumbangan Musa’adah Khas Siswa yang telah diadakan di dua buah institusi berkenaan. Hadir mewakili MAIWP, Ketua Unit Perhubungan luar Puan Salmie ahmad dan Timbalan Pengurus Baitulmal, Encik Md Fadzli Md Saad.

Sumbangan di KPBKL telah disampaikan oleh pengerusinya, Dato’ Haji. Razali Haji Shahabudin manakala PICOMS disampaikan oleh Naib Canselor PICOMS, Prof. Dr. Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman. Setiap institusi menerima wang tunai berjumlah RM5,000.00.

Wakil Majlis Perwakilan Pelajar PICOMS, Hisyam Hafezudin Suhaimi berkata beliau menerima banyak aduan daripada pelajar PICOMS yang mana terkandas ekoran penularan wabak COVID-19.

MAIWP dan syarikat subsidiari melalui inisiatif yang dipelopori oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam program Musa'adah Covid 19 telah menyalurkan bantuan keseluruhan berjumlah RM71.5 juta sehingga kini termasuk bantuan kepada pelajar IPT.

Antara bantuan yang disalurkan kepada pelajar IPT di Wilayah Persekutuan adalah penyaluran bantuan makanan harian dan kewangan.

Selain itu, MAIWP juga telah bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membantu pelajar-pelajar terkandas termasuk pelajar KPBKL dan PICOMS pulang ke kampung halaman dengan menyediakan perkhidmatan bas baru-baru ini.

Manakala pelajar IPT yang ditemui selepas menerima bantuan yang disalurkan menzahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diterima daripada pihak MAIWP dan ia amat membantu mereka meneruskan kehidupan sebagai seorang pelajar.

Aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MoJA) juga boleh digunakan bagi melaporkan pelajar yang dalam memerlukan. Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Apple App Store.

 Memacu Kegemilangan Ummah 
TOP