MAIWP RAIKAN ANAK YATIM, FAKIR MISKIN CEMERLANG

Saiz Tulisan :

mini DSC08784

Batu Muda, 26 September– Darul Kifayah merupakan sebuah institusi di bawah MAIWP yang menjaga kesejahteraan anak yatim, saudara baru dan pelajar-pelajar miskin dengan menyediakan tempat tinggal, kemudahan pendidikan yang sempurna dan bimbingan kerohanian.

Baru – baru ini Darul Kifayah telah menyampaikan anugerah kepada para pelajarnya yang cemerlang pada Majlis Anugerah Anakku Cemerlang Darul Kifayah Tahun 2020.

Anugerah telah disampaikan oleh Pengerusi MAIWP, Dato’ Sri Syed Hussien AlHabshee di Dewan Utama Darul Kifayah, Kuala Lumpur.

Seramai sepuluh orang pelajar menerima Anugerah Pelajar Terbaik, enam pelajar menerima Anugerah Subjek Terbaik, tujuh pelajar menerima Anugerah Pelajar Terbaik keseluruhan Mengikut Tahap manakala empat pelajar menerima Anugerah Pelajar Cemerlang 2020.

Pada program ini, dua anugerah tokoh turut disampaikan kepada bekas pelajar Darul Kifayah.

Muhammad Kasyful, Penerima Anugerah Tokoh Khas, merupakan bekas pelajar Darul Kifayah dan Sekolah Menengah Agama (SMA-MAIWP). Beliau bakal melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia di Universiti Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat (AS) di bawah tajaan Petronas.

Beliau turut berpesan kepada pelajar Darul Kifayah agar tidak menjadikan kekurangan yang dihadapi sebagai alasan untuk berjaya.

Dato' Sri Syed Hussien dalam ucapannya berkata, MAIWP akan memperkasakan fungsi Darul Kifayah sebagai sebuah sekolah berasaskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
langkah itu berikutan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran dalam bidang TVET semakin melonjak

"MAIWP menyahut seruan dan saranan kerajaan dengan pelbagai usaha giat dijalankan untuk merealisasikan hasrat menjadikan Kompleks Darul Kifayah sebagai sebuah sekolah yang berasaskan TVET dalam tempoh beberapa tahun akan datang".

Dalam pada itu, beliau mengesyorkan Darul Kifayah melaksanakan program portal pendidikan tuisyen, i-LEARN Ace kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan mulai Januari 2021 sebagai usaha menjadikan pelajar di bawah seliaan MAIWP golongan berilmu.

“Kaedah ini, Insya-ALLAH akan dapat membantu pelajar untuk menambah pengetahuan dan memantapkan penguasaan pelajar bagi setiap mata pelajaran yang diambil", ujar beliau.

 Memacu Kegemilangan Ummah 
TOP