KAEDAH ABAHATA KAEDAH PENGAJARAN AL-QURAN MENARIK

Saiz Tulisan :

mini DSC08055

Cheras, 10 September – Bermula tahun hadapan, MAIWP akan mula menggunakan kaedah ABAHATA di semua Tadika Islam MAIWP.

Kaedah ABAHATA dilihat dapat menarik minat para pelajar untuk mempelajari Al-Quran berdasarkan teknik pengajarannya yang lebih tertumpu pada medium nyanyian dan pergerakan tangan.

Sehubungan itu, MAIWP telah mengadakan kursus Training of Trainers (TOT) sebanyak 4 siri kepada 174 orang guru Tadika Islam MAIWP bertujuan memberi kemahiran kepada mereka tentang kaedah pengajian ABAHATA.

Modul ini adalah sebahagian daripada Program Celik Al-Quran yang telah dirasmikan oleh Pengerusi MAIWP, Dato‘ Sri Syed Hussien Al-Habshee pada 13 Julai 2020 bermatlamat untuk memberi peluang kepada warga Wilayah Persekutuan untuk pandai dan mahir membaca Al-Quran.

Majlis perasmian penutup Kursus (TOT) Guru Tadika Islam MAIWP Tahun 2020 ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Bahagian Pembangunan Insan, Puan Wan Maizatun Wan Hassan di Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) MAIWP.

Puan Wan Maizatun melalui ucapannya berkata para guru telah didedahkan secara praktikal teknik mengajar menggunakan kaedah ABAHATA untuk dipraktikkan di tadika masing-masing.

'MAIWP sentiasa membuat penambahbaikan di dalam sistem pendidikan Prasekolah. Pada tahun hadapan tadika akan mula menggunakan kaedah ABAHATA di semua Tadika Islam MAIWP. Guru-guru yang telah menghadiri program ini dimohon untuk berkongsi kepada guru-guru yang lain yang belum menghadiri kursus ini sementara menunggu kursus yang akan diberikan pada tahun hadapan' ujar beliau.

Tadika Islam MAIWP melaksanakan modul pengajian yang memenuhi Kurikulum Standart Prasekolah Kebangsaan (KSPK) Kementerian Pendidikan Malaysia dan disulami dengan Pendidikan Agama Islam dan kokurikulum yang menarik.

Puan Ummun Khir Abdul Halim dan Rafiuddin Muhamad merupakan guru di Tadika Islam MAIWP di Putrajaya dan Setapak Jaya.

Mereka menyifatkan kaedah ABAHATA yang dipelajari mereka melalui kursus ini amat bagus dan menarik kerana ia dapat membantu mereka untuk menambah baik cara pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

 Memacu Kegemilangan Ummah 
TOP