AGONG KURNIA SUMBANGAN MAIWP BERNILAI RM1.8 JUTA KEPADA VETERAN ATM

Saiz Tulisan :

mini PRO 0606

Kuala Lumpur, 25 Jun- Ke bawah Duli yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia Kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur.

Pada majlis ini, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan sumbangan sebanyak RM1.8 juta kepada 6,000 orang veteran ATM dalam kalangan B40.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan ampun kurnia berupa wang tunai dan hamper barangan makanan asas kepada 10 orang veteran ATM sebagai simbolik perkenan Seri Paduka Baginda berangkat menyantuni golongan veteran ATM yang telah banyak mencurahkan bakti kepada negara.

Perkenan Al-Sultan Abdullah berangkat ke majlis ini, selain mencerminkan keperibadian tinggi menyantuni golongan tersebut, turut mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap golongan yang memerlukan bantuan untuk kelangsungan hidup mereka.

Majlis ini dianjurkan oleh MAIWP dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Istana Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Pertahanan, Bantu-Bantu Malaysia dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Turut hadir ialah Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob; Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), YB Ustaz Ahmad Marzuk Shaary, Pengerusi MAIWP, Dato' Sri Syed Hussien AlHabshee, dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Mohd Ajib bin Ismail.

Pesara ATM, Abdul Rahim A. Karim, pula terharu dengan keperibadian Al-Sultan Abdullah yang bertanyakan keadaan dirinya dan menasihati beliau menjaga kesihatan diri.

Abdul Rahim yang kehilangan kedua-dua kaki akibat terpijak jerangkap samar ketika bertugas di Gerik pada 1982 itu juga teruja dapat berjumpa dengan Seri Paduka yang disifatkannya berjiwa rakyat.

Manakala Salmah Ahmad amat bersyukur dan gembira atas sumbangan yang diterima dan ia sedikit sebanyak dapat membantu meneruskan kelangsungan hidupnya selepas kehilangan suami tahun lalu.

mini_PRO_0606.jpgPRO_0524.jpgPRO_0504.jpgPRO_0526.jpgPRO_0613.jpgPRO_0544.jpgPRO_0550.jpgPRO_0654.jpgPRO_0606.jpgPRO_0566.jpgPRO_0784.jpgPRO_0659.jpgPRO_0628.jpg

 Memacu Kegemilangan Ummah 
TOP