YANG DIPERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG KURNIA SUMBANGAN KEPADA ASNAF LABUAN

Saiz Tulisan :

mini PRO 1467

Labuan, 26 November – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan berangkat ke Majlis Rahmah Bersama Rakyat dan Pengurniaan Bantuan Kepada Asnaf Wilayah Persekutuan Labuan.

Pada majlis ini, Yang Di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan bantuan zakat kepada golongan asnaf iaitu Bantuan Peralatan Persekolahan bagi sesi pembelajaran tahun 2020 dan Bantuan Am Pelajaran IPT.
Seri Paduka Baginda Tuanku turut berkenan mengurniakan Insentif Khas Pelajar Cemerlang/Biasiswa Baitulmal MAIWP dan Bantuan Peralatan Kesihatan kepada golongan asnaf dengan jumlah keseluruhan bantuan yang dikurniakan pada malam majlis ini ialah RM2.43 juta.
Pengerusi MAIWP, Dato’ Sri Syed Hussien Alhabhee dalam ucapannya berkata MAIWP akan melaksanakan KPI yang telah ditetapkan iaitu mengeluarkan asnaf fakir dan miskin daripada kepompong kemiskinan pada kadar 2-4% setahun yang mana turut merangkumi kepada asnaf di Labuan.
Seramai 900 orang rakyat Labuan, berlatarbelakangkan pelbagai agama dan bangsa, termasuk golongan asnaf, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin setempat, hadir di majlis ini.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke majlis ini juga mencerminkan keperibadian tinggi dan keprihatinan Baginda terhadap golongan asnaf dan anak-anak yatim yang memerlukan bantuan.
Hadir di majlis ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan Menteri Wilayah Persekutuan YB Khalid Samad.
Turut hadir ialah Pengerusi Perbadanan Labuan Dato' Sri Haji Amir Haji Hussien, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Haji Isli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Haji Abdul Aziz Jusoh

 Memacu Kegemilangan Ummah 
TOP