YANG DI-PERTUAN AGONG KURNIA SUMBANGAN DI KEMBARA RAHMAH ZAKAT MAIWP

Saiz Tulisan :

mini PRO 8173

Kuala Lumpur, 20 Oktober –Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah mencemar duli mengurniakan sumbangan zakat kepada golongan asnaf di Pusat Komuniti Pantai Eco-Park, Lembah Pantai sempena Program Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan Tahun 2019.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda Tuanku ke majlis anjuran MAIWP ini menjadikannya lebih bermakna kerana Baginda merupakan ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan.
Bantuan yang disampaikan terdiri daripada pakaian persekolahan kepada anak-anak asnaf bernilai RM5.1 juta, Bantuan Am Persekolahan sebanyak RM9.82 juta dan Bantuan Am Pelajaran IPT berjumlah RM12.45 juta. Selain itu, Seri Paduka Baginda turut mengurniakan bantuan keperluan harian kepada 500 asnaf yang hadir.

Ketibaan Seri Paduka Baginda Tuanku disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Menteri Wilayah Persekutuan, YB Khalid Abdul Samad dan Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussien AlHabshee.

Turut hadir Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Menerusi program yang dinamakan Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan, sebanyak 100 buah motosikal berkuasa tinggi dan 20 buah teksi penerima bantuan zakat Baitulmal MAIWP iaitu yang menerima Skim Bantuan Deposit Sewa Beli Teksi berkonvoi dalam perjalanan sejauh 35.9 k.m
Mereka bermula di Taman Metropolitan Batu bergerak ke Masjid Al- Mukhlisin Taman Alam Damai, Cheras dan berakhir di Pusat Komuniti Pantai Eco-Park, Lembah Pantai.

Turut terlibat dalam program ini adalah Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, YB Dato’ Haji Kamaruddin Jaffar yang menyambut konvoi di kawasan Parlimennya iaitu di Masjid Al- Mukhlisin. Beberapa bantuan telah disampaikan iaitu Bantuan Peralatan Kesihatan, Bantuan Perubatan berjumlah RM23.35 juta dan Bantuan Perniagaan RM3.13 juta.

Sementara itu, Datuk Seri Mujahid dalam ucapannya, berkata program itu adalah inisiatif MAIWP bagi memperhebatkan hebahan mengenai usaha proaktif MAIWP dalam melaksanakan agenda pembangunan ummah di Wilayah Persekutuan, khususnya menerusi program agihan zakat.

Tambah beliau, MAIWP akan berusaha untuk meningkatkan kebajikan golongan asnaf dan visi bagi memastikan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan melalui program Asnafpreneur dan program pendidikan.

Khairul Anuar Juri mewakili konvoi motosikal berkuasa tinggi, Kingz Bikers berkata konvoi kali ini merupakan kerjasama kali pertama antara MAIWP dan Kingz Bikers.

Ia merupakan satu program yang baik dan membuktikan kumpulan Bikers seperti kami juga prihatin terhadap asnaf di Wilayah Persekutuan dan kami dapat mendekatkan diri membantu dan memberi sokongan terhadap mereka.

 Memacu Kegemilangan Ummah 
TOP