SANTUNI ASNAF MENERUSI JELAJAH BERBASIKAL

Saiz Tulisan :

000 0555 2

KUALA LUMPUR, 28 April – Usaha untuk menyantuni asnaf perlu dipelbagaikan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan zakat. MAIWP buat julung kalinya telah mengadakan program berbasikal ke rumah-rumah asnaf menerusi program Jelajah Rahmah Asnaf @ Ambang Ramadan 2019.

Program yang diadakan bersempena Ramadan ini menyaksikan kehadiran tetamu diraja iaitu Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang telah berkenan mencemar duli menyertai program ini bersama 100 orang peserta.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah agar lebih banyak program agihan dapat dirangka serta dilaksana secara menyeluruh dalam usaha membantu mereka yang layak dan memerlukan. Baginda juga turut bertitah agar golongan asnaf dapat berusaha untuk mengubah taraf hidup seterusnya keluar daripada kemiskinan dan akhirnya suatu hari nanti menjadi para pembayar zakat.

Konvoi berbasikal ini bermula dari Taman Tasik Datuk Keramat dan berbasikal menuju ke Masjid Al-Akram. Sepanjang perjalanan, para peserta telah singgah menziarahi 5 orang asnaf yang tinggal di Lorong Keramat 8, Lorong Keramat 5, Lorong Keramat 1 dan dua asnaf yang tinggal di Lorong Kiri 16, Kampung Datuk Keramat.

Pada setiap rumah yang diziarahi, bantuan wang tunai sebanyak RM500 dan bantuan berbentuk barangan keperluan harian telah disampaikan.
Di lokasi terakhir program iaitu di Masjid Al-Akram Kampung Datuk Keramat diadakan pula penyampaian bantuan tunai sebanyak RM200 dan bantuan berbentuk barangan keperluan harian kepada 100 keluarga asnaf yang hadir.

Menerusi program ini, MAIWP berharap dapat menyampaikan mesej bahawa zakat yang dikutip daripada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan menerusi Pusat Pungutan Zakat MAIWP telah diagihkan semaksimum mungkin kepada golongan asnaf. Mengiringi DYTM Tuanku adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, YB Datuk Seri Rina binti Mohd Harun.

Turut bersama adalah Pengerusi MAIWP, Dato’ Sri Syed Hussein Alhabshee, ketua-ketua agensi pengurusan Islam dan tetamu kehormat yang lain serta peserta MAIWP Cycling Club.

000_0201.JPG000_0521.JPG000_0228.JPG000_0555.JPG000_0555_2.JPG000_0695.JPG000_9890.JPG000_0270.JPG000_0230.JPG000_0466.JPG

 Memacu Kegemilangan Ummah 
TOP