MAIWP LANCAR SKIM BANTUAN KHAS KANAK-KANAK OKU

Saiz Tulisan :

kecik

Putrajaya 15 Januari – Memulakan tahun 2019 ini MAIWP telah memperkenalkan satu lagi bentuk bantuan zakat dikenali sebagai Skim Bantuan Khas Kanak-Kanak OKU.

Menerusinya, keluarga di Wilayah Persekutuan yang mempunyai anak-anak OKU dan tergolong dalam golongan asnaf, akan layak menerima bantuan. Bantuan ini diharap dapat meringankan beban ibubapa untuk menghantar anak-anak OKU ke pusat-pusat yang menyediakan rawatan dan pemulihan termasuk latihan kepada anak-anak istimewa ini. Majlis Perasmian Skim Bantuan Khas Kanak-kanak OKU ini telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof di Komplek Islam Putrajaya.

Dalam ucapannya, beliau berkata MAIWP sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan agihan zakat agar lebih berkesan dan menyeluruh agar amanah yang diberi oleh pembayar zakat dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

’’MAIWP mengambil inisiatif meluaskan lagi skim bantuan yang ada dengan mengfokuskan kepada kebajikan, perubatan dan pemulihan kanak-kanak istimewa. Bantuan yang pertama-tama kali dilancarkan ini dikenali sebagai Bantuan Khas Kanak-Kanak OKU. Syabas dan tahniah kepada MAIWP telah melangkah lagi jauh dalam memperluaskan kumpulan asnaf dan zakat yang ditunaikan oleh umat islam’’.

Tambah beliau bantuan ini diagihkan kepada asnaf fakir, miskin, muallaf dan Al-Gharimin dengan berdasarkan had kifayah yang telah ditetapkan.

Pada majlis pelancaran tersebut , lima kanak-kanak Autisme dan seorang kanak-kanak Syndrom Down telah menerima bantuan.
MAIWP memperuntukan sebanyak RM164,000.00 untuk tahun pertama bagi skim baru ini.
Bantuan yang disalurkan meliputi yuran pendaftaran, kos rawatan pemulihan, pembelajaran, pengangkutan dan lain-lain secara bulanan berjumlah antara RM500.00 sehingga RM1,000.00.

Puan Nazlia Mohd Nazir ibu kepada penerima bantuan Syed Muhammad Faiez yang mana merupakan kanak-kanak oku Autisme berkata kos perbelanjaan pemulihan dan pembelajaran anaknya sangat mahal.

Dengan adanya bantuan dari MAIWP ini ia amat membantu keluarga mereka untuk terus menghantar anak mereka menjalani pemulihan di Pusat Pembangunan Potensi (ADS KL).

‘’Sangat-sangat bagus, bukan kita hantar anak ke swasta ni mampu nyer, itupun pihak ADS ade buat biasiswa/bantuan kalau tidak memang tidak mampu. Bila tahu Baitulmal pula dapat membantu memang sangat-sangat bersyukur dan sangat-sangat membantu’’.

Manakala En Admi Adam Walad amat terkejut anaknya terpilih menerima bantuan kerana beliau belum membuat permohonan tetapi kakitangan Baitulmal MAIWP telah mengesan tahap kesihatan anaknya melalui databased yang ada di Baitulmal MAIWP.

‘’Saya belum daftar, saya minta bantuan lain lepas tu saya lampirkan detail anak sekali, pihak MAIWP semak dan panggil. Bantuan kali ini akan uruskan yuran pendaftaran untuk sekolah dan tahun ini punya yuran bulanan dari januari hingga disember’’.

kecik.jpg3.jpg1.jpg2.jpg4.jpg

 Memacu Kegemilangan Ummah 
TOP