MAIWP LAHIRKAN ASNAF BERJAYA
Check folder permmisions!
Admiror Gallery: 5.0.0
Server OS:Apache
Client OS:Unknown
PHP:7.0.33-68+0~20230905.83+debian10~1.gbp571a08
Amanah para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan ditunaikan sebaik mungkin oleh MAIWP menerusi pelbagai program agihan zakat. Menerusi zakat yang dibayar kepada Pusat Pungutan Zakat MAIWP, dana tersebut telah disalurkan kepada puluhan ribu asnaf di Wilayah Persekutuan ini.
Baru-baru ini pada 3 Julai 2018, asnaf yang kini telah berjaya dipilih oleh MAIWP menerima anugerah yang disampaikan di Majlis Semarak Syawal Bersama Asnaf bertempat di Pusat Komuniti Setiawangsa Tuan Zulkifli Yusof, Pegawai Khas yang hadir merasmikan program mewakili Ahli Parlimen Setiaawangsa YB Nik Nazmi Nik Ahmad mengucapkan tahniah kepada MAIWP yang telah berjaya melaksanakan pelbagai program agihan zakat. Beliau berharap progam-program agihan zakat ini dapat dipergiatkan lagi agar lebih ramai asnaf dapat dibantu.
Sementara itu, Tuan Haji Abdul Aziz bin Jusoh, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP menyatakan kejayaan penerima-penerima bantuan zakat ini menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa MAIWP gagal menyantuni golongan asnaf sebaiknya.
Seramai 5 orang telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Baitulmal. 3 orang daripada mereka iaitu Suria binti Loman, Razali bin Talib dan Siti Fatimah binti Hussin menerima Tokoh Usahawan Baitulmal manakala Syed Ahmad Ziman dan Muhammad Khir Tajul Ariffin menerima Tokoh Akademik Baitulmal
Puan Suria binti Loman menjalankan perniagaan nasi kukus ayam dara bersama suami untuk menyara keluarga. Beliau memulakan perniagaan secara kecil- kecilan pada November 2015 dengan membuka dua buah payung di Jalan Jernai 3, Medan Idaman, Gombak. Dengan bantuan zakat perniagaan yang diterima daripada Baitulmal MAIWP, beliau telah mampu mempelbagaikan menu jualan dan mengubahsuai kontena terpakai kepada Kiosk Gerai Masakan Panas yang kekal dan kini meraih pendapatan melebihi sekitar RM 15,000.00 sebulan
Encik Razali bin Talib merupakan pengusaha perniagaan sambal bilis. Bantuan perniagaan Baitulmal yang diterima mendorong beliau untuk bergiat secara serius ditambah pula dengan bantuan daripada agensi kerajaan yang lain. Produk beliau kini dalam proses penilaian untuk dipasarkan ke peringkat global dan hingga kini, beliau mampu meraih pendapatan mencecah melebihi RM 10,000 sebulan.
Puan Siti Fatimah pula mengusahakan perniagaan aiskrim buatan sendiri. Bermula dengan perniagaan di hadapan rumah, beliau mengembangkan perniagaan secara berperingkat. Dengan bantuan yang diterima, perniagaan beliau semakin meningkat maju dan kini beliau mampu meraih pendapatan melebihi sebanyak RM 8,000.00 sebulan. Sementara itu, penerima Tokoh Akademik Baitulmal, Syed Ahmad Ziman menerima Biasiswa Pelajar Cemerlang MAIWP pada tahun 2010 dan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Mesir. Biasiswa yang diterima membantu beliau untuk terus fokus dalam pelajaran dan kini beliau berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan didi Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
Muhammad Khir Tajul Ariffin pula berasal daripada keluarga yang sederhana dengan bapa bekerja sebagai Pembantu Am Pejabat manakala ibunya suri rumah sepenuh masa. Pada tahun 2009, beliau mendapat tawaran Biasiswa Pelajar Cemerlang MAIWP bagi pengajian Diploma Kejuruteraan Awam di Universiti Malaysia Pahang, UMP. Bermula dengan diploma, beliau meneruskan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang yang sama.
Dengan kelayakan akademik yang diterima, beliau kini telah memulakan kerjaya sebagai Jurutera Tapak di
syarikat swasta dalam bidang pembinaan di Kuala Lumpur.