HARI GRADUASI PONDOK MODEN AL-‘ABAQIRAH: BERI PENGALAMAN BERHARGA KEPADA PELAJAR YANG DIRAIKAN
Check folder permmisions!
Admiror Gallery: 5.0.0
Server OS:Apache
Client OS:Unknown
PHP:7.0.33-68+0~20230905.83+debian10~1.gbp571a08
BATU CAVES – Seramai 8 orang pelajar Tahun Empat Pondok Moden Al-‘Abaqirah (PMA) diraikan dalam Majlis Graduasi (Haflah al-Takharruj) yang diadakan di Dewan Besar Darul Kifayah, 6 Jun lalu. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan merangkap Lajnah Al-Irsyad Pondok Moden Al-‘Abaqirah.
Turut hadir ialah Tuan Haji Abdul Aziz bin Jusoh selaku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan timbalannya, Encik Mohamad Nizam bin Yahya.
Sekalung tahniah diucapkan kepada pelajar-pelajar yang berjaya menamatkan pengajian selama empat tahun di PMA. Mereka yang diraikan itu telah memenuhi syarat yang ditetapkan untuk bergraduasi iaitu lulus syahadah ‘ulya di samping masing-masing memperoleh pangkat Mumtaz dan Jayyid Jidan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang lalu. Menurut Sahibus Samahah Datuk Mufti, majlis itu diadakan bagi memberi penghargaan atas usaha keras pelajar menyahut segala cabaran sepanjang empat tahun menimba ilmu di PMA. Tambah beliau lagi, tempoh empat tahun itu diharap dapat memberi persediaan secukupnya kepada para pelajar untuk melangkah ke alam universiti yang lebih luas cabarannya serta memerlukan daya usaha tinggi.
Pengarah Majlis Graduasi, Ustaz Nik Amirul Adzim yang juga merupakan tenaga pengajar di PMA berkata, persediaan rapi untuk menjayakan program mega ini telah melibatkan kerjasama jitu dalam kalangan guru serta pelajar yang sama-sama menyumbang tenaga dan kreativiti untuk memeriahkan majlis. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan majlis dapat dilangsungkan dengan sempurna.
Sementara itu, pelajar, Muhammad Rushdan bin Amir dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Sahibus Samahah dengan membawa pulang sijil penghargaan, trofi, wang tunai sebanyak RM 200.00 dan sepersalinan jubah serta kopiah. Hampir 100 orang tetamu jemputan termasuk ibu bapa hadir bagi memeriahkan majlis yang bertujuan untuk mengiktiraf pelajar-pelajar cemerlang yang bakal menamatkan persekolahan di PMA, tahun ini. Majlis tersebut dilihat berjaya menyemarakkan lagi dorongan, serta membakar semangat pelajar untuk menjadi insan cemerlang dalam pelbagai bidang pada masa akan datang.