JASAMU DIKENANG
Check folder permmisions!
Admiror Gallery: 5.0.0
Server OS:Apache
Client OS:Unknown
PHP:7.0.33-68+0~20230905.83+debian10~1.gbp571a08
Menerajui MAIWP sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang kelima, YBhg. Dato’ Haji Paimuzi bin Yahya kembali bertugas di JAKIM mulai 1 April 2018.
Beliau yang dilantik pada 1 Mei 2017 telah banyak meninggalkan kejayaan, pencapaian dan pelbagai rentetan peristiwa bersejarah sepanjang mengetuai pengurusan MAIWP. Walaupun dalam tempoh yang singkat, beliau telah membawa MAIWP ke satu tahap yang lebih cemerlang.
Mengimbau kembali MAIWP di bawah kepimpinan beliau, MAIWP terus mengekalkan prestasi menerima Sijil Audit Bersih Bagi Penyata Kewangan untuk tahun ke-11 berturut-turut. MAIWP juga terus cemerlang dalam bidang inovasi apabila terus menggondol anugerah emas bagi projek-projek inovasi antaranya menerusi projek Pusat Agihan Zakat.
Komited dalam menambahbaik agihan zakat, beliau telah mengarahkan agar Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi Asnaf ditubuhkan bagi memperkasakan penerima bantuan perniagaan Baitulmal MAIWP. Menerusi Karnival Usahawan Asnaf 2017 yang diadakan dengan sokongan penuh beliau, usahawan-usahawan asnaf bukan sahaja dari Wilayah Persekutuan bahkan dari seluruh Malaysia dan negara-negara MABIMS telah diketengahkan.
Prihatin dengan mereka yang kurang bernasib baik, beliau sendiri telah turun padang menziarahi dan menghulurkan sumbangan kepada golongan asnaf termasuk menerusi program Walkabout di kawasan-kawasan Parlimen. Kembara Zakat Wilayah Persekutuan Tahun 2018 telah mencatatkan lembaran sejarah baru kepada MAIWP. Program yang julung kali diadakan hasil cetusan idea Dato’ Haji Paimuzi ini telah berjaya membuka perspektif baharu terhadap pengurusan agihan zakat samada di peringkat pimpinan setempat mahupun di kalangan rakyat.
Beliau juga telah mengarahkan agar permohonan bantuan zakat secara online diperkenalkan. Perkara ini telah berjaya dilaksanakan dan akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Tegas dalam keputusan dan jelas dalam pelaksanaan tugas, beliau amat mementingkan pematuhan kepada peraturan- peraturan yang berkuatkuasa.
Dalam usaha memudahkan orang ramai untuk berurusan dengan MAIWP, beliau telah mengarahkan agar pejabat Pusat Agihan Zakat Parlimen Putrajaya di Kompleks Islam Putrajaya dinaiktaraf kepada MAIWP cawangan Putrajaya.
Institusi pendidikan di bawah MAIWP bermula dari tadika Islam sehingga ke pengajian tinggi sentiasa diberi perhatian oleh beliau. Hasilnya institusi-institusi pendidikan ini telah mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan dalam peperiksaan –peperiksaan besar yang diduduki.
Beberapa projek pembangunan prasarana yang dibangunkan oleh MAIWP telah dirasmikan semasa kepimpinan beliau. Antaranya projek Darul Hidayah di Jalan Sentul yang menempatkan golongan saudara muslim. Kemudahan di Pusat Pembedahan Katarak MAIWP Hospital Selayang juga bakal dipertingkatkan dengan tambahan peruntukan RM3 juta yang disalurkan baru-baru ini.
Dalam usaha menangani dakwaan dan persepsi negatif masyarakat terhadap pengurusan zakat, beliau amat terbuka menerima idea-idea baru. Hasilnya, liputan aktiviti MAIWP semakin kerap disiarkan di media massa.
Terkini, hasil persetujuan, pandangan dan sokongan penuh beliau, Berita MAIWP TV telah berjaya diterbitkan yang memberi laporan mengikut perspektif dan hala tuju MAIWP.Walaupun kelihatan sangat serius, namun beliau amat mementingkan hubungan dan kerjasama baik antara warga MAIWP. Ianya dapat dilihat menerusi penglibatan beliau dalam aktiviti riadah dan sukan bersama warga MAIWP.