MAIWP TAMBAH DANA RM3 JUTA
9 Mac – Pada 9 Februari lalu, YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Hj Abdul Razak telah turun padang melawat Pusat Pembedahan Katarak MAIWP – Hospital Selayang. Dalam lawatan tersebut, beliau telah mengumumkan peruntukan tambahan bagi meningkatkan kemudahan di pusat berkenaan dalam usaha membantu golongan yang kurang berkemampuan.
Setelah meneliti keperluan tambahan di Pusat Pembedahan Katarak, MAIWP telah meluluskan peruntukan untuk disalurkan kepada Pusat Katarak tersebut. Pada hari, MAIWP menyerahkan mok cek sumbangan berjumlah RM3 juta yang telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Haji Paimuzi bin Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP kepada YBhg. Dr. Siti Zaleha binti Mohd Salleh, Pengarah Hospital Selayang.
Pusat Pembedahan Katarak MAIWP-Hospital Selayang merupakan prasarana yang berjaya ditubuhkan hasil kerjasama strategik di antara MAIWP dan Kementerian Kesihatan menerusi Hospital Selayang di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan.
MAIWP telah menghulurkan kerjasama dengan menyalurkan dana zakat sebanyak RM9.8 juta bagi mengubahsuai premis bangunan menjadi sebuah pusat pembedahan yang dilengkapi dengan peralatan pembedahan yang canggih dan terkini. Manakala Kementerian Kesihatan menerusi Hospital Selayang telah menyediakan tenaga-tenaga pakar bagi memberikan perkhidmatan perubatan.